Suntikan imunisasi HPV cegah jangkitan penyakit HPV
Gambar Kelab PROSIS
SINTOK, 24 November 2024: Program Suntikan Imunisasi Human Papillomavirus (HPV) Kali Ke-3 telah diadakan di Bilik Sumber, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 13 hingga 14 November lalu dengan sasaran peserta terdiri daripada pelajar UUM.
Program ini adalah kerjasama Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti (PKKU), UUM dengan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (National Cancer Society Malaysia, NCSM) dan Kelab Program Siswa Sihat (PROSIS).
Pengarah PKKU, Dr. Adi Abdul Razak berkata, matlamat utama program ini adalah untuk mencegah dan mengurangkan risiko seseorang daripada terjangkiti penyakit HPV seperti ketuat di alat kelamin dan beberapa jenis kanser seperti anal, serviks, kepala dan leher, zakar, rektrum, faraj dan vulvar.
\Menurutnya, suntikan ini diberikan secara percuma dengan menyasarkan kumpulan remaja perempuan dan lelaki berusia antara 13 hingga 20 tahun yang terlepas dos atau melengkapkan dos bagi yang sudah menerimanya.
Program Suntikan HPV Kali Pertama dan Ke-2 telah dilaksanakan di UUM pada 7 Mei lalu yang melibatkan 953 orang pelajar dan pada 28 Mei yang melibatkan 1,153 orang pelajar. Pada program ini, hanya pelajar wanita diberi suntikan.
Pada Program Suntikan HPV Kali Ke-3, seramai 1,700 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar lelaki dan wanita telah mendapatkan suntikan.
Dr. Adi menyatakan bahawa kos untuk mendapatkan suntikan di luar adalah mahal dan pelajar sepatutnya mengambil peluang mendapatkan suntikan percuma yang diberikan bagi mencegah dan mengurangkan risiko penyakit HPV.
Melalui program ini juga, pelajar Kelab PROSIS dapat mencapai KPI yang telah ditetapkan. PROSIS merupakan kolaborasi Kementerian Kesihatan Malaysia bersama-sama Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memperkasakan siswa/siswi dalam mengamalkan cara hidup sihat.
Penasihat Kelab PROSIS, Hasliza Hassan yang juga merupakan Penolong Pengarah Kanan PKKU mengharapkan program ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan di UUM. – Hasliza Hassan