Syarahan Tan Sri (Dr.) Azman Mokhtar tekan kepentingan kepimpinan berteraskan nilai
Gambar Mohd Fuad Hamid
SINTOK, 18 November 2025: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan siri syarahan khas yang disampaikan oleh Tan Sri (Dr.) Azman Mokhtar, yang dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Perniagaan Islam) dalam Majlis Konvokesyen UUM ke-38, Ahad lalu.
Syarahan khas ini telah disampaikan di Dewan Seminar B, Kompleks Konvensyen, UUM, sejurus penganugerahan Ijazah Kehormat tersebut pada sesi 1 Majlis Konvokesyen UUM.
Dalam syarahannya bertajuk “Building Bridges, Lighting Beacons Insights and Inspiration from Islamic Economics and Islamic Finance for a fractured world’, beliau menekankan kepentingan kepimpinan berteraskan nilai (values-based leadership) sebagai teras kemampanan dan integriti dalam dunia perniagaan moden.
Menurutnya, pembangunan ekonomi bukan sekadar mengejar keuntungan, tetapi harus berasaskan keadilan sosial, kemaslahatan ummah, dan amanah terhadap sumber.
Tiga idea ekonomi yang disarankan oleh beliau ialah Khaldunomics, Kancilnomics dan Toyyibnomics yang menggabungkan prinsip keadilan, kebijaksanaan dan beyond halal sebagai asas dalam membangunkan ekonomi yang kini sangat terdedah kepada tren mega seperti gangguan teknologi, ketidakseimbangan ekonomi, geoekonomi dan geopolitik dan sebagainya.

Tan Sri Azman turut menegaskan perlunya idea-idea baru dan segar dalam memastikan pertumbuhan ekonomi di era yang rapuh dewasa ini.
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi (TDPI) IBS yang juga merupakan Pengarah Program, Prof. Madya Dr. Norazlina Abd Wahab berkata, syarahan yang disampaikan adalah sangat relevan dengan program akademik di IBS serta perkembangan semasa dalam bidang pengurusan dan kewangan Islam.
Sesi syarahan ini turut dihadiri oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani, serta barisan pengurusan tertinggi universiti, staf dan para pelajar yang hadir memenuhi dewan untuk mendengar syarahan tersebut. – Prof. Madya Dr. Norazlina Abd Wahab



