Taklimat CQI perkukuh amalan penambahbaikan berterusan staf SCIMPA
Berita dan gambar Nor Syahirah Mohamad Dzohir
SINTOK, 8 Mac 2026: Satu taklimat berkaitan Continuous Quality Improvement (CQI) telah diadakan di Bilik Mesyuarat Kreatif SCIMPA sempena Bengkel Persediaan Pengajaran Semester A252.
Taklimat tersebut disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Norani Nordin dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan dihadiri oleh staf akademik Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA).

Dalam sesi berkenaan, Dr. Norani menekankan kepentingan pelaksanaan CQI secara sistematik, berasaskan bukti serta selari dengan keperluan penjaminan kualiti dan standard akreditasi.
Penerangan turut merangkumi kaedah mengenal pasti isu berdasarkan analisis pencapaian pelajar, teknik penyediaan dokumentasi yang lebih tersusun serta langkah merangka tindakan penambahbaikan yang realistik, relevan dan boleh diukur.
Beliau berkata, pelaksanaan CQI bukan sekadar memenuhi keperluan laporan, sebaliknya merupakan satu proses refleksi berterusan yang membantu pensyarah menilai keberkesanan strategi pengajaran, kaedah pentaksiran serta tahap pencapaian hasil pembelajaran kursus (CLO).
Menurutnya, setiap dapatan analisis perlu disusuli dengan tindakan susulan yang jelas, termasuk perancangan intervensi dan pemantauan impak pada semester berikutnya.

Peserta juga didedahkan dengan contoh amalan terbaik serta pengalaman pelaksanaan CQI di peringkat fakulti bagi memastikan setiap dapatan penilaian kursus dapat diterjemahkan kepada tindakan yang memberi impak langsung terhadap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.
Sesi perbincangan dua hala turut membuka ruang kepada staf untuk mengemukakan persoalan serta berkongsi cabaran dalam melaksanakan CQI di peringkat kursus masing-masing.
Penganjuran taklimat ini diharap dapat memperkukuhkan kefahaman, kesediaan dan komitmen staf akademik SCIMPA dalam melaksanakan penambahbaikan berterusan secara lebih terancang dan konsisten, sekali gus memastikan kualiti pengajaran sentiasa dipertingkatkan bagi semester A252 yang akan datang.



