TD P&I sahut cabaran lonjak agenda penerbitan melalui Bengkel Co-Design “Ground Zero: The Q Quest”
Gambar Bahagian Penerbitan Penyelidikan, RMC
SINTOK, 15 Mac 2026: Dalam usaha memperkasakan budaya penerbitan berimpak tinggi, Bahagian Penerbitan Penyelidikan, Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan sesi kolaborasi strategik “Ground Zero: The Q Quest” yang melibatkan barisan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) daripada pusat pengajian, baru-baru ini.

Program yang berteraskan co-design ini merupakan langkah proaktif RMC untuk mengenal pasti hambatan di peringkat akar umbi bagi mencapai sasaran penerbitan berkualiti tinggi selaras dengan agenda universiti.
Pengarah RMC, Prof. Madya Dr. Mohammad Azam Hussain berkata, program ini bertujuan untuk merapatkan jurang antara polisi universiti dan realiti pelaksanaan di peringkat pusat pengajian selain untuk memahami kesukaran dan cabaran rakan-rakan penyelidik di UUM.

“Misi kita adalah jelas, iaitu melalui “Ground Zero”, kita bukan sahaja mendengar cabaran, malah kita merangka ‘antidote’ atau penyelesaian khusus yang boleh memberi sokongan teknikal dan taktikal kepada penyelidik.
“Malah, inisiatif ini dijangka bakal menjadi pemangkin kepada peningkatan jumlah penerbitan jurnal berindeks sekali gus mengukuhkan kedudukan UUM dalam persada penarafan global,” katanya.
Bengkel yang diadakan selama setengah hari di Bilik Tamra, Kompleks Konvensyen ini berjaya mengumpulkan input yang diperlukan bagi membantu RMC khususnya Bahagian Penerbitan Penyelidikan untuk merangka strategi meningkatkan pencapaian penerbitan universiti dan memperkasakan budaya penerbitan berimpak tinggi demi mengukuhkan lagi imej UUM sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka. – Suhailawati Mohd. Shamsudin



