Thai cultural experience: Merentas budaya, mengukuhkan ikatan UUM–RUTS
Gambar oleh: INASIS Luar Kampus
NAKHON SI THAMMARAT, THAILAND, 22 Ogos 2025: Pelajar INASIS Luar Kampus, Universiti Utara Malaysia (UUM) berpeluang mendalami warisan budaya Thailand menerusi Thai Cultural Experience yang diadakan di Fakulti Sains dan Teknologi, Rajamangala University of Technology Srivijaya (RUTS).
Program ini turut disertai oleh pelajar Sarjana Muda Teknologi Maklumat RUTS, menjadikannya wadah perkongsian silang budaya yang signifikan.
Aktiviti ini dibahagikan kepada tiga segmen utama. Antaranya ialah Thai Traditional Medicine, di mana pelajar diperkenalkan dengan pembuatan yadom, iaitu herba tradisional yang digunakan sebagai penyegar dan penawar kesihatan sejak turun-temurun. Bahan yang digunakan dalam pembuatan yadom adalah bahan-bahan asli seperti kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih dan lain-lain.
Selain itu, dalam sesi Thai Dessert Practices Skill, peserta didedahkan kepada teknik menghasilkan pencuci mulut tradisional Khanom Kho, manisan yang menjadi sebahagian daripada identiti kulinari masyarakat Thai. Khanom Kho ini berasal dari selatan Thailand dan sering dihidangkan sewaktu majlis, perayaan, parti serta perkahwinan.
Berikutnya, menerusi Craft and Culture, pelajar mempelajari seni menghasilkan Manora beads, hasil kraf tangan yang sarat dengan nilai estetika dan warisan budaya, khususnya dalam persembahan tradisional Manora di selatan Thailand. Ia merupakan sejenis manik yang digunakan untuk membuat kraftangan seperti gantungan kunci, rantai, gelang dan juga kostum tarian klasik. Hiasan berwarna-warni, berjuraian serta dipenuhi manik ini mengambil masa hampir tiga bulan untuk disiapkan.
Setiap aktiviti bukan sahaja mempamerkan keunikan budaya Thailand, malah memberi ruang kepada pelajar untuk merasai pengalaman praktikal yang menekankan nilai kesenian, tradisi dan pelestarian warisan. Pendedahan secara langsung ini membantu meningkatkan kefahaman pelajar terhadap kepelbagaian budaya serantau, di samping menanamkan rasa hormat terhadap tradisi masyarakat setempat.
Selain aspek kebudayaan, program ini turut menjadi platform penting bagi memperkukuh hubungan akademik dan jaringan antarabangsa antara UUM dan RUTS. Penglibatan pelajar dalam kumpulan bercampur telah mewujudkan interaksi dinamik, sekali gus menggalakkan pertukaran idea, pemupukan kerjasama serta membina persahabatan merentasi sempadan negara. Elemen ini seiring dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang memiliki kompetensi antarabangsa serta kepemimpinan global.
Program anjuran INASIS Luar Kampus, UUM ini jelas mencerminkan bagaimana penglibatan budaya boleh digabungkan dalam aktiviti mobiliti akademik untuk menghasilkan pengalaman pembelajaran holistik. Kerjasama erat UUM dan RUTS dijangka membuka lebih banyak peluang kolaborasi pada masa hadapan, khususnya dalam bidang akademik, penyelidikan serta pengukuhan hubungan serantau. — Nur Nazreen Amelyn Rozli Sham