Tidak pernah terlambat, Dr. Othman genggam PhD pada usia 62 tahun
Gambar Ihsan Dr. Othman Ahmad
SINTOK, 10 November 2025: Usia bukan penghalang buat Dr. Othman Ahmad apabila beliau akhirnya berjaya menamatkan pengajian dan menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada usia 62 tahun selepas hampir sedekad berjuang menyiapkan pengajian yang bermula sejak 2015.
Anak kelahiran Bentong, Pahang itu memperoleh PhD dengan tesis bertajuk “Determinant Factors of Repayment Performance of Microfinance Institutions Among Borrowers: The Moderating Effect of IT Capability”.

Dr. Othman memulakan perjalanan akademiknya dengan diploma di Universiti Teknologi MARA (UiTM), sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan seterusnya Doktor Falsafah di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Menurutnya, kejayaan ini amat bermakna kerana beliau datang daripada keluarga serba kekurangan dan telah menjadi anak yatim sejak berumur lima tahun.
“Saya ingin membuktikan bahawa saya juga mampu memiliki PhD. Saya tanam tekad untuk terus belajar dan berbakti kepada masyarakat, agama serta negara.
“Saya memilih UUM kerana universiti ini semakin tersohor dan saya bangga menjadi graduannya, walaupun perjalanan ini penuh cabaran terutama dari segi kewangan dan masa untuk keluarga,” katanya.

Dr. Othman menerima ijazah Doktor Falsafah daripada Pro-Canselor UUM, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah, dalam majlis konvokesyen yang berlangsung pagi ini.
Mengimbas kembali kenangan semasa bergelar pelajar, beliau berkata tempoh pengajian dari peringkat Sarjana hingga PhD memakan masa 14 tahun, dan dalam tempoh itu beliau banyak bergantung pada semangat sahabat-sahabat yang turut membantunya menanggung kos sara hidup.
Kini, beliau berkhidmat sebagai Konsultan dan Penasihat Kewangan serta berhasrat membantu masyarakat merancang kewangan dan persaraan dengan lebih baik.
Kejayaan Dr. Othman turut diraikan oleh isteri tercinta, Normanizam Ismail @ Mat Nor dan lima orang anak mereka yang hadir ke majlis konvokesyen tersebut.



