Campus

“Tulis Sampai Terbit!” – IBS anjur tiga siri bengkel penulisan, sasar hasilkan 30 artikel berimpak tinggi

Gambar oleh Dr. Wahidah Shari

SINTOK, 25 September 2025: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (Islamic Business School – IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan tiga siri Bengkel Penulisan Artikel yang memberi fokus kepada penghasilan artikel akademik berimpak tinggi serta berpotensi diterbitkan dalam jurnal terindeks. Bengkel yang berlangsung dari 25 Ogos hingga 9 September 2025 ini merupakan inisiatif strategik IBS dalam menyokong peningkatan kualiti penerbitan ilmiah dalam kalangan pensyarah.

Program ini dilaksanakan secara berfasa, bermula dengan penulisan asas sehinggalah ke sesi konsultasi bersama pakar dalam bidang penulisan akademik. Sebanyak 30 artikel berimpak tinggi dijangka dihasilkan oleh para pensyarah yang menyertai bengkel ini. Kesemua artikel tersebut disasarkan untuk disiapkan selewat-lewatnya pada 30 September 2025 bagi tujuan semakan akhir sebelum dihantar ke jurnal.

Menariknya, sebelum bengkel dimulakan, para peserta telah diminta mengenal pasti skop atau tajuk artikel serta menyediakan data yang relevan. Pendekatan ini bertujuan memastikan proses penulisan berjalan lebih lancar dan terarah sepanjang bengkel berlangsung.

Siri pertama telah diadakan pada 25 Ogos 2025 di Raia Hotel, Alor Setar. Sesi ini dimulakan dengan syarahan khas oleh Prof. Hanudin Amin, yang berkongsi tip praktikal dan strategi menghasilkan artikel berimpak tinggi. Para pensyarah juga memulakan penulisan draf artikel mereka dengan memberi tumpuan kepada bahagian Pengenalan dan Metodologi kajian.

Bengkel diteruskan dengan siri kedua pada 2 September 2025 bertempat di Bilik Latihan Tasik, UUM. Dalam sesi ini, peserta diberi ruang dan sokongan sepenuhnya untuk melengkapkan draf penuh artikel dengan penekanan kepada pembangunan hujah, penyusunan struktur yang mantap serta gaya penulisan yang meyakinkan.

Siri ketiga merangkap sesi penutup bengkel telah berlangsung pada 9 September 2025 di Raia Hotel, Alor Setar. Sesi ini memberi peluang kepada setiap peserta untuk menjalani konsultasi individu bersama Prof. Dr. Salina Kassim, pakar yang dijemput khas bagi memberikan maklum balas mendalam terhadap artikel yang telah disiapkan. Input yang diperoleh dalam sesi ini amat penting bagi penambahbaikan sebelum artikel dihantar untuk penerbitan.

Penganjuran bengkel ini membuktikan komitmen berterusan IBS dalam memperkasakan budaya penyelidikan dan penulisan ilmiah dalam kalangan warga akademik. Dengan bimbingan pakar dan pendekatan yang sistematik, para pensyarah bukan sahaja berjaya mengasah kemahiran penulisan mereka, malah lebih yakin untuk menerbitkan hasil penyelidikan dalam jurnal berindeks dan berprestij.

Program ini dijangka akan diteruskan pada masa akan datang sebagai sebahagian daripada strategi peningkatan kualiti akademik dan penerbitan UUM di peringkat nasional dan antarabangsa.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button