Campus

UTLC anjur program CSR penerapan AI dalam pedagogi di SMK Parit Panjang

Gambar oleh: Danial Nizar Mansor

SINTOK, 23 Ogos 2025:  Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajaran dan Pembelajaran (UTLC) telah menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bertajuk “Penerapan Artificial Intelligence (AI) dalam Pedagogi” di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Parit Panjang, Kupang, Kedah yang disertai oleh 60 orang guru.

Program ini bertujuan memperkenalkan konsep asas serta aplikasi praktikal kecerdasan buatan (AI) kepada warga pendidik, selaras dengan usaha meningkatkan kompetensi guru dalam menghadapi cabaran pendidikan abad ke-21.

Sepanjang tiga jam sesi interaktif, para peserta bukan sahaja diberi pendedahan teori mengenai potensi AI dalam pedagogi, malah turut menjalani latihan hands-on menggunakan pelbagai aplikasi AI agent tools.

Antara perisian yang diperkenalkan termasuk ChatGPT, Gemini dan Perplexity (untuk prompting), Canva, Adobe Express dan Kling (untuk video), Canva, Recraft dan Krea (untuk imej), serta ElevenLab, Suno dan D-ID (untuk suara).

Bagi memastikan penguasaan yang lebih praktikal, guru-guru telah menghasilkan tugasan secara langsung menggunakan Canva AI dengan mencipta poster pendidikan interaktif melalui AI text-to-image, menjana slaid pengajaran menggunakan AI presentation maker, menghasilkan video pendek pembelajaran dengan AI video generator, serta menggunakan Magic Write untuk menghasilkan nota ringkas automatik.

Pengarah UTLC, Prof. Madya Dr. Siti Noor berkata, program CSR ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UUM dalam menyokong pembangunan profesionalisme para pendidik peringkat menengah di kawasan Utara Malaysia.

“Penerapan teknologi AI dalam bilik darjah berpotensi besar membantu guru menghasilkan pengajaran yang lebih interaktif, mesra pelajar dan bersifat peribadi. UTLC komited untuk terus menjadi rakan strategik kepada sekolah dalam memperkukuh ekosistem pembelajaran digital,” katanya.

Pengetua SMK Parit Panjang, Dr. Jamilah binti Sulaiman turut menyambut baik inisiatif ini dan berharap ia dapat meningkatkan keyakinan guru dalam mengintegrasikan teknologi AI ke dalam pedagogi harian.

UTLC menegaskan bahawa program ini adalah sebahagian daripada agenda UUM dalam menyokong transformasi pendidikan negara, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan 4 (SDG 4) yang berhasrat memastikan pendidikan yang inklusif, saksama dan berkualiti serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua menjelang tahun 2030.

Inisiatif sebegini diyakini dapat membantu guru menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna kepada pelajar, seterusnya melahirkan generasi yang celik teknologi dan bersedia menghadapi masa depan. – Dr. Idyawati Hussein.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button