Campus

UUM dan Kerajaan Negeri Kedah bincang potensi kerjasama sokong The Greater Kedah 2050

Berita dan gambar oleh: Siti Nazirah Jaya

SINTOK, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan sesi perbincangan potensi kerjasama bersama Kerajaan Negeri Kedah bagi meneroka peluang pelaksanaan inisiatif strategik yang menyokong agenda pembangunan negeri, khususnya The Greater Kedah 2050.

Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) UUM bertindak sebagai Sekretariat bagi sesi perbincangan tersebut.

Sesi perbincangan yang diadakan baru-baru ini telah dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Dr. Nadzman bin Mustaffa, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Kedah, yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengurusan Universiti (LPU) UUM.

Perbincangan ini turut membuka ruang kepada beberapa penyelidik UUM untuk membentangkan lima (5) kertas kerja cadangan ringkas yang berpotensi dilaksanakan dalam usaha menyokong The Greater Kedah 2050, khususnya Teras 1: Kemakmuran Ekonomi yang memberi tumpuan kepada Kajian Sempadan dan Keselamatan Sempadan.

Ketua-ketua penyelidik yang telah membentangkan kertas kerja dalam sesi ini ialah Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol bin Keling (SOIS), Prof. Madya Dr. Bakri bin Mat (SOIS), Dr. Nurhazlina binti Mohd Ariffin (SAPSP), Dr. Hasnizam B. Hasan (SBM), dan Dr. Tuan Muhammad Zukri bin Tuan Sembok (SAPSP).

Para penyelidik telah berkongsi idea dan cadangan penyelidikan selaras dengan keperluan semasa.

Mengetuai UUM dalam sesi tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad.

Turut hadir ialah Dekan Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (JHEPPI), Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Pengarah Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), serta Timbalan Pengarah Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA).

Hasil daripada sesi perbincangan ini, satu bengkel penambahbaikan kertas kerja akan diadakan bersama penyelidik-penyelidik terlibat bagi memperkukuh kandungan, skop dan hala tuju cadangan sebelum dibawa ke peringkat seterusnya untuk pertimbangan dan tindakan lanjut.

UUM merakamkan penghargaan atas komitmen dan sokongan Kerajaan Negeri Kedah, serta berharap kerjasama strategik ini dapat terus diperkukuh demi menyumbang kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat melalui pelaksanaan inisiatif berasaskan penyelidikan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button