UUM dekati komuniti sekolah melalui program USR di SK Danglau
Gambar Anis Zulaikha binti Kamal
SIK, September 2025 – Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dengan kerjasama Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti (PKKU) serta Pusat Kokurikulum, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program University Social Responsibility (USR) bertemakan “Sinar Inspirasi SK Danglau: Cemerlang Hari Ini, Gemilang Masa Depan” di Sekolah Kebangsaan (SK) Danglau, Sik.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program ini. Bagi murid tahap dua, mereka menyertai Eksplorasi Cilik Kerjaya yang menguji minda, kemahiran berfikir, semangat berpasukan dan daya saing. Manakala bagi murid tahap satu, program dimulakan dengan Ceramah Kesihatan Gigi yang disampaikan oleh Dr. Harith Fadillah bin Hassan, Pegawai Pergigian PKKU.
Murid-murid turut teruja menyertai aktiviti santai Tiup dan Pecah Belon anjuran Pusat Kokurikulum yang menceriakan suasana.
Selain itu, pasukan PKKU turut menjalankan pemeriksaan kesihatan percuma kepada guru dan warga SK Danglau sebagai usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan gaya hidup sihat.
Lebih menarik, program ini turut dimeriahkan dengan pameran Set Pakaian Seragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh pasukan Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) UUM yang memberi peluang kepada murid melihat lebih dekat kelengkapan uniform serta memahami fungsi dan peranannya.
Program ini juga menyaksikan sesi menandatangani sijil jalinan kerjasama antara UUM dan SK Danglau sebagai simbolik kepada hubungan strategik kedua-dua pihak dalam memperkukuh jaringan pendidikan dan pembangunan komuniti.
Sebagai tanda penghargaan, PPKKG menyampaikan cenderamata berupa set alat tulis kepada semua murid SK Danglau. Selain itu, turut diadakan sesi penyampaian hamper kepada murid yang mengambil bahagian dalam aktiviti Eksplorasi Cilik Kerjaya dan Tiup dan Pecah Belon, disumbangkan oleh PPKKG dan Pusat Kokurikulum.
Menurut Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah, program ini menjadi platform penting untuk menghubungkan universiti dengan komuniti.
“UUM sentiasa komited melaksanakan program berbentuk USR seperti ini. Melalui aktiviti bersama komuniti sekolah, kita bukan sahaja berkongsi ilmu, malah dapat memupuk semangat kerjasama serta membina jaringan yang memberi manfaat bersama. Program seperti ini juga dapat memberi motivasi kepada murid agar lebih bersemangat untuk belajar ke peringkat lebih tinggi walaupun tinggal di kawasan luar bandar,” katanya.
Guru Besar SK Danglau, Puan Sopuan Ishak, turut menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur.
“Kami amat menghargai usaha PPKKG, PKKU dan Pusat Kokurikulum kerana membawa program yang menyeronokkan dan berinformasi kepada murid-murid. Ia memberi pengalaman berharga serta motivasi untuk mereka terus cemerlang,” ujarnya.
Program ini bukan sahaja menceriakan murid dengan aktiviti menarik, malah memperkukuh kerjasama antara universiti dan sekolah melalui jalinan strategik yang bakal memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Bahagian Sik, Ismail Harun; Prof. Madya Ts. Dr. Nur Khairiel Anuar, Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum; dan Dr. Firdaus Romli, Pegawai Pergigian PKKU.