UUM jalin kerjasama strategik bersama DHL APSSC
Berita dan gambar SIti Nazirah Jaya
SINTOK, 12 November 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh jaringan strategik bersama industri global melalui sesi menandatangani Surat Hasrat ( LOI) bersama DHL Asia Pacific Shared Services Centre (APSSC) dalam satu majlis di Pejabat Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), baru-baru ini.
Majlis menandatangani LOI ini menandakan langkah awal ke arah kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan bakat pelajar, penempatan latihan industri serta penglibatan industri dalam program akademik dan kurikulum.

LOI tersebut ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jafri Saad dan Ketua Sumber Manusia, DHL APSSC, Tharaka De Silva.
Kedua-duanya menzahirkan komitmen dalam memacu transformasi pendidikan tinggi yang lebih selari dengan keperluan industri global. Melalui kerjasama ini, pelajar UUM dijangka akan mendapat pendedahan secara langsung dalam pengurusan operasi dan ekosistem perniagaan global DHL, khususnya dalam bidang kewangan dan pengurusan perniagaan.
Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) , Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam berkata, inisiatif ini selaras dengan aspirasi universiti untuk memperkasakan kebolehpasaran graduan serta membina ekosistem pembelajaran yang lebih holistik dan berimpak tinggi.

Menurutnya, kerjasama strategik antara UUM dan DHL APSSC ini merupakan satu langkah signifikan dalam memperkukuh hubungan antara sektor pendidikan dan industri global.
Katanya, menerusi jalinan ini, kedua-dua pihak menyasarkan untuk membangunkan program kolaboratif yang merangkumi pelbagai inisiatif seperti penempatan latihan industri, pembangunan kurikulum berasaskan industri, program pemindahan ilmu, serta peluang kerjaya untuk graduan.
“Inisiatif ini juga membolehkan pihak industri memainkan peranan aktif dalam membentuk graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah memiliki kefahaman mendalam terhadap keperluan dan budaya kerja korporat bertaraf antarabangsa.
“UUM percaya bahawa kolaborasi seperti ini adalah kunci utama dalam memastikan institusi pendidikan tinggi kekal relevan, progresif dan mampu melahirkan modal insan berdaya saing sejajar dengan aspirasi Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi dan berasaskan ekonomi pengetahuan,” katanya.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Timbalan Pengarah Bahagian Jaringan Industri CUIC, Prof Madya Dr. Normalisa Md Isa, manakala dari DHL adalah Soo Ching Ching (Chief Financial Officer, Malaysia & Brunei, DHL Express (Malaysia), Saiful Nahar Mohd Rusli (Senior Manager, Business HR, DHL APSSC), dan Shawna Sebir (Senior Specialist – Recruitment, DHL APSSC).
Kerjasama ini membuktikan kepercayaan syarikat multinasional terhadap keupayaan institusi tempatan dalam membangunkan modal insan berkualiti global.



