Campus

UUM lancar MyKIOSK@Kampus, perkasa keusahawanan pelajar

Gambar oleh Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, Kedah, 31 Januari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus melakar pencapaian signifikan dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan pelajar menerusi pelancaran MyKIOSK@Kampus di Tapak MyKIOSK@Kampus, Inapan Siswa (INASIS) Luar Kampus UUM, semalam.

UUM mencatat sejarah sebagai Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pertama yang melaksanakan inisiatif MyKIOSK@Kampus di dalam kampus hasil kerjasama strategik bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pelaksanaan inisiatif ini membuka peluang keusahawanan kepada pelajar dan komuniti setempat, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan universiti serta kementerian dalam melahirkan usahawan muda yang berdaya saing, inovatif dan beretika.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, dalam ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad, menegaskan bahawa inisiatif ini menyediakan platform perniagaan yang lebih kondusif, tersusun dan kompetitif kepada pelajar UUM.

Menurut beliau, penempatan 13 unit MyKIOSK@Kampus di UUM bukan sahaja menawarkan ruang perniagaan yang berdaya saing kepada pelajar, malah menyokong aspirasi universiti dalam melahirkan usahawan muda yang cemerlang serta berintegriti.

Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Wira Dr. M. Noor Azman Taib, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa MyKiosk merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan telah dilaksanakan dari tahun 2023 hingga 2024 bagi membantu peniaga kecil menjalankan perniagaan dalam persekitaran yang lebih selamat, bersih dan teratur.

Beliau turut memaklumkan bahawa sepanjang tempoh pelaksanaan, kira-kira 7,000 unit MyKiosk telah disediakan di seluruh negara dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.

Selain itu, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi kerja-kerja membaik pulih kiosk yang rosak, di samping memaklumkan bahawa pihak kementerian akan menyemak semula baki 20 unit kiosk yang pernah dimohon oleh UUM sebelum ini.

Sementara itu, salah seorang pengurus Ghedup, Farid Danial Mohd. Fisol (21), pelajar Program Pentadbiran Perniagaan, ketika ditemu bual menyuarakan harapan agar jumlah tapak perniagaan di sekitar kampus UUM dapat diperluaskan. Langkah tersebut, menurutnya, mampu memberi lebih banyak peluang kepada pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan serta mewujudkan ekosistem perniagaan pelajar yang lebih aktif dan berdaya saing.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button