Campus

UUM LEADS dan STHEM perkasa kepimpinan murid melalui kursus kepemimpinan KUPSIS

Berita dan gambar oleh: Dr. Hasan Mohamed Zakaria

SINTOK, 2–4 Oktober 2025: UUM Leadership and Development Society (UUM LEADS) dengan kerjasama School of Tourism, Hospitality and Event Management (STHEM) serta Majlis Kepimpinan Murid (MKM) telah berjaya melaksanakan Kursus Kepemimpinan Murid untuk pelajar Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu (KUPSIS) yang berlangsung di Kem Sintok, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Program selama tiga hari itu disertai oleh 150 orang pelajar dengan objektif membentuk sahsiah kepimpinan, semangat kerja berpasukan dan disiplin diri dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Kursus ini dikendalikan oleh empat orang tenaga jurulatih kepimpinan dari STHEM iaitu Dr. Muhammad Fauzi Mokhtar, Dr. Lina Munirah Kamarudin, Dr. Hasan Mohamed Zakaria dan Dr. Eshaby Mustafa, dengan bantuan tujuh orang fasilitator pelajar daripada Program Sarjana Muda Pengurusan Acara (Kepujian) yang turut memainkan peranan penting dalam pengurusan aktiviti dan bimbingan kumpulan.

Sepanjang program, para peserta mengikuti pelbagai aktiviti pembangunan kepimpinan dan kerjasama pasukan termasuk ice breaking, jungle trekking, latihan fizikal, Latihan Dalam Kumpulan (LDK) bertemakan kepimpinan melalui tindakan, serta pembentangan kajian kes. Aktiviti kerohanian seperti bacaan Yasin, tazkirah, halaqah refleksi diri dan kuliah subuh turut diadakan bagi memperkukuh nilai spiritual dan jati diri peserta.

Kemuncak program ialah Sesi Pembentangan Kajian Kes Kepimpinan yang menyaksikan pelajar mempamerkan kebolehan berfikir secara kritikal, bekerja secara kolaboratif serta berkomunikasi secara berkesan. Majlis penutupan turut diadakan pada hari terakhir dengan penyampaian sijil kepada peserta serta Lawatan Kampus UUM (UUM Campus Tour) bagi memberi pendedahan awal tentang suasana dan budaya pembelajaran di universiti.

Menurut ketua jurulatih kem kepimpinan yang juga Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) STHEM, penganjuran program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif jaringan komuniti dan pemindahan ilmu UUM dalam melahirkan generasi muda yang berilmu, berdaya kepimpinan dan berakhlak mulia. Kolaborasi ini turut memperkukuh peranan UUM sebagai universiti pengurusan terulung yang komited memperkasa kepimpinan belia melalui pendidikan berasaskan pengalaman dan nilai.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button