Campus

UUM–MAYBANK perkukuh kerjasama strategik

Berita dan gambar Siti Nazirah Jaya

KUALA LUMPUR, 16 Disember 2025: Pusat Kolaborasi Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Mazhatulshima Mohd Zahid sebagai usaha berterusan untuk meneruskan serta memperkukuh kerjasama strategik antara UUM dan Maybank yang telah terjalin sekian lama.

Delegasi CUIC UUM diketuai oleh Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam bersama-sama Timbalan Pengarah Kolaborasi Industri, Prof. Madya Dr. Normalisa Md Isa; Penyelaras Latihan Industri UUM COB, Dr. Safwan Marwin Abdul Murad serta Pegawai Tadbir Kanan Unit Latihan Industri, Mohd Maliki A. Rahman.

Dr. Chandrakantan berkata, kunjungan ini menjadi platform bagi mengukuhkan hubungan kerja yang sedia ada dan memastikan kerjasama universiti dan industri terus berkembang secara lebih tersusun dan berimpak, khususnya dalam bidang pembangunan modal insan dan agenda bakat masa hadapan.

Menurutnya, antara fokus utama perbincangan ialah peranan dan pengukuhan Majlis Penasihatan Universiti Industri (MPUI) sebagai wadah strategik yang menyokong kesepadanan kurikulum akademik dengan keperluan industri.

Selain itu, perbincangan turut merangkumi aspek pembangunan bakat dan kebolehpasaran graduan, sejajar dengan aspirasi nasional untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, relevan dan berdaya saing.

UUM dan Maybank turut berkongsi pandangan mengenai peluang penambahbaikan program latihan industri, pendedahan awal pelajar kepada persekitaran korporat, serta inisiatif pembangunan bakat yang lebih holistik.

Maybank turut disertai oleh Wan Mohamad Fathi Wan Nordin, Head of Group Talent Acquisition and Mobility Management, Group Human Capital; serta Dr. Iddin Abdul Manaf, Head of Group Talent Attraction and Acquisition, Group Human Capital.

Secara keseluruhan, kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen bersama UUM dan Maybank dalam memperkukuhkan ekosistem kerjasama universiti–industri yang mampan.

Diharapkan hubungan strategik ini akan terus berkembang melalui pelaksanaan inisiatif bersama yang memberi impak positif kepada pembangunan bakat, kebolehpasaran graduan serta kemajuan penyelidikan berteraskan keperluan industri dan masyarakat.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button