UUM perkasa komuniti minoriti siam di Kedah melalui komunikasi kepimpinan
Berita dan gambar oleh Dr. S. Maartandan Suppiah
SIK, KEDAH, 15 November 2025 – UUM terus memperkukuhkan peranannya sebagai sebuah universiti yang berteraskan tanggungjawab sosial melalui pelaksanaan projek transformasi komuniti Siam melalui komunikasi kepimpinan. Program ini berlangsung selama enam bulan, dari Mei hingga Oktober 2025, bertempat di Kampung Kalai, Sik, Kedah.

Program ini diketuai oleh Dr. S. Maartandan Suppiah, Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi. Projek ini melibatkan pelajar Tahun 4 hingga Tingkatan 3 daripada komuniti Siam Kampung Kalai. Sesi bimbingan dijalankan setiap minggu pada hujung minggu, dari jam 10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.
Antara objektif program ini adalah memperkasakan pelajar sekolah rendah dan menengah Siam melalui komunikasi kepimpinan, meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pendidikan dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah Siam dan memberi bimbingan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah Siam dalam pembinaan sahsiah diri.

Menurut Dr. S. Maartandan, program ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform latihan, tetapi turut menjadi penghubung antara universiti dan komuniti minoriti luar bandar dalam memperkukuh peranan UUM sebagai institusi yang inklusif dan prihatin terhadap keperluan masyarakat pelbagai etnik.
“Komuniti Siam di Kedah merupakan sebahagian daripada warisan budaya Malaysia yang unik namun sering terpinggir dalam arus pembangunan. Melalui projek ini, UUM berperanan aktif membantu memperkasakan generasi muda Siam agar berdaya saing, berilmu, dan berkeyakinan memimpin,” ujar beliau.

Program ini turut menampilkan beberapa penceramah berpengalaman, iaitu Dr. Normahfuzah Ahmad, Pensyarah Kanan, SMMTC, Universiti Utara Malaysia; En. Prakash Velloo, Pensyarah Pusat Bahasa, Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang, Pulau Pinang; Pn. Nor Azlina Binti Ramli, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Am dan Asasi, AIMST University, Bedong, Kedah; dan Dr. Paul GnanaSelvam Pakirnathan, Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA (Kampus Perak).
Projek ini menyumbang secara langsung kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), terutamanya: SDG 4 – Pendidikan Berkualiti, melalui penyediaan peluang pembelajaran dan bimbingan kepada pelajar komuniti minoriti; dan SDG 10 – Mengurangkan Ketidaksamarataan, dengan memperkukuh penglibatan komuniti Siam dalam agenda pembangunan sosial negara.
Kejayaan program ini menjadi bukti bahawa kemahiran komunikasi kepimpinan yang mantap merupakan kunci utama dalam usaha memperkasakan komuniti, khususnya komuniti minoriti yang sering berdepan kekangan akses kepada pendidikan dan maklumat.
Apabila mesej disampaikan dengan jelas, empati, dan berstrategi, perubahan tingkah laku menjadi lebih mudah dicapai, dan intervensi sosial dapat memberi impak yang lebih mampan.



