UUM perluas agenda TVET melalui penawaran Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)
Gambar oleh Dr Muhamad Fikri Aziz
Sintok, 24 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila beberapa pusat pengajian menyatakan komitmen untuk menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) melalui kerangka Akademi Dalam Industri (ADI).
Komitmen tersebut dizahirkan dalam siri taklimat yang disampaikan oleh Pengurus Pusat Bertauliah SLDN-ADI UUM, Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Dr. Muhamad Fikri Aziz. Taklimat berkenaan memberi pencerahan mengenai potensi penawaran SKM yang diselaraskan dengan kepakaran dan bidang tumpuan setiap pusat pengajian di UUM.
Antara pusat pengajian yang terlibat ialah Pusat Pengajian Sains Komputer (SCIMPA), Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden (SEFB), serta Pusat Pengajian Multimedia, Teknologi dan Komunikasi (SMMTC).
Setiap pusat pengajian akan menyesuaikan penawaran program SKM mengikut kepakaran masing-masing.
Program baharu yang bakal ditawarkan termasuklah Pengurusan Muzik Tahap 3 dan Produksi Video Tahap 3 (SCIMPA); Pengumpulan Data Tahap 3 dan Pengumpulan Data Statistik Tahap 4 (SQS); Operasi Pusat Jagaan Orang Tua Tahap 3, Penyelarasan Koreksional Tahap 4, serta Sokongan Perkhidmatan Kaunseling (Teknikal dan Pentadbiran) Tahap 3 (SAPSP).
Sementara itu, SEFB akan menawarkan Operasi Jualan dan Pemasaran Produk Berasaskan Pertanian Tahap 3, manakala SMMTC akan memperkenalkan Rekabentuk Multimedia Interaktif Tahap 3.
Pelaksanaan ini bukan sahaja membuka laluan untuk pusat pengajian di UUM ditauliahkan sebagai pusat yang menawarkan SKM, malah turut melibatkan proses pentauliahan pensyarah melalui kaedah ADI.
Langkah ini diyakini dapat memperkasakan peranan akademia dalam menyampaikan latihan berasaskan kemahiran mengikut standard industri semasa.
Selain itu, inisiatif ini juga akan membantu meningkatkan Graduate Employability (GE) pelajar UUM melalui pemerkasaan kompetensi kemahiran di samping memperluas jaringan kerjasama strategik antara universiti dan industri.
Secara tidak langsung, ia menyokong aspirasi UUM untuk melahirkan graduan holistik, bercirikan profesional, dan berdaya saing dalam pasaran kerja, malah membuka laluan kepada graduan untuk memperoleh pengiktirafan berganda – ijazah akademik dan sijil kemahiran. – Dr Muhamad Fikri Aziz