UUM Press anjur Hari Penerbitan dan Jualan Akhir Tahun 2025
Berita dan gambar Mohammad Amzari Bakri
SINTOK, 23 November 2025: UUM Press akan menganjurkan Program Hari Penerbitan dan Jualan Akhir Tahun 2025 pada 26 dan 27 November ini di dua lokasi iaitu Varsity Mall dan Dewan Budi Siswa, Pusat Budaya dan Seni.

Program julung kali ini menjadi platform meraikan kejayaan penerbitan buku, memperkukuhkan hubungan antara penulis, penyunting dan pembaca, serta mempromosikan karya ilmiah kepada warga universiti dan masyarakat umum.
Selain itu, ia turut berfungsi sebagai strategi pemasaran dengan menawarkan diskaun hebat bermula dari 30 hingga 80 peratus bagi semua buku terbitan UUM Press. Lebih menarik, setiap pembelian akan diberikan sebuah buku percuma sebagai penghargaan kepada pelanggan.
Antara pengisian menarik yang akan berlangsung sepanjang program ialah Hari Bersama Pelanggan & Jualan Akhir Tahun, Program Bicara Editor: Peluang Kerjaya dalam Bidang Penerbitan, Jom! Terbit Buku dan Bicara Penulis Muda bersama Dr. Mohd Alif Jasni.
Pengarah UUM Press, Prof. Sr. Dr. Mohd Nasrun Mohd Nawi berkata, penganjuran ini bukan sekadar untuk menjual buku, tetapi merupakan inisiatif pembangunan ilmiah dan membuat jaringan profesional.

Menurutnya, program ini juga memberi pendedahan tentang prospek kerjaya dalam industri penerbitan, memperkukuh komunikasi dua hala dengan pelanggan, serta menyokong pencapaian KPI Pelan Strategik UUM Press.
“Melalui program ini, peserta bukan sahaja berpeluang mendapatkan buku dengan harga istimewa sehingga 80 peratus diskaun, malah menerima buku percuma dengan setiap pembelian.
“Pada masa sama, mereka dapat memahami realiti dunia penerbitan, membina jaringan profesional dan membuka ruang kolaborasi bersama penggiat industri,” katanya.
UUM Press berharap program ini dapat meningkatkan minat warga kampus dan masyarakat terhadap budaya membaca serta menulis, di samping memperkukuh reputasi UUM sebagai pusat kecemerlangan akademik dan penerbitan ilmiah di peringkat nasional dan antarabangsa.



