UUM PRESS perkasa budaya ilmu, cetus inspirasi murid SMK Sultanah Bahiyah
SINTOK, 26 Februari 2025: Dalam usaha memperkasakan budaya membaca dalam kalangan generasi muda, UUM Press telah menganjurkan Program Sumbangan Buku Program Nilam dan Ceramah Motivasi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Program yang dihadiri oleh seramai 1,000 orang murid dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 ini bertujuan untuk menyemai minat membaca serta memberikan suntikan motivasi kepada pelajar dalam mengejar impian mereka.
Program tersebut dirasmikan oleh Pengarah UUM Press, Prof. Sr. Dr. Mohd Nasrun Mohd Nawi, bersama Timbalan Pengarah UUM Press, Puan Rosma Ishak, serta Penolong Kanan SMK Sultanah Bahiyah, Nor Afiza Salleh.
Majlis perasmian turut diserikan dengan penandatanganan plak peringatan sebagai simbolik permulaan program yang diharapkan dapat memberi impak jangka panjang kepada para pelajar.
Menurut Mohd Nasrun, program ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial UUM Press untuk memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat, khususnya dalam memupuk budaya ilmu dalam kalangan pelajar. “Membaca adalah kunci kepada kejayaan. Melalui sumbangan buku ini, kami berharap dapat mencetuskan inspirasi dan minat membaca dalam kalangan murid,” ujarnya.
Selain sumbangan buku, program ini turut menampilkan sesi ceramah motivasi yang disampaikan oleh Abdul Halim Ayob, Guru Bahasa dari Pusat Asasi Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM). Dalam ceramahnya, Abdul Halim menekankan kepentingan pendidikan dan keyakinan diri dalam mencapai cita-cita.
Beliau juga mengambil peluang untuk mempromosikan program Asasi Pengurusan UUM kepada para pelajar yang hadir.
Dalam majlis berkenaan, Nor Afiza turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada UUM Press atas inisiatif murni ini.
“Program ini bukan sahaja memberikan manfaat dari segi bahan bacaan, malah turut memberi motivasi kepada pelajar untuk terus berusaha dan berjaya dalam kehidupan,” katanya.
Program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan minat membaca dalam kalangan pelajar serta membuka minda mereka tentang kepentingan ilmu pengetahuan dalam menghadapi cabaran masa depan. UUM Press berhasrat untuk terus menjalin kerjasama dengan institusi pendidikan lain bagi meluaskan impak program seumpama ini.
Dengan gabungan sumbangan buku dan ceramah motivasi, UUM Press membuktikan komitmennya dalam menyokong pembangunan pendidikan negara serta melahirkan generasi muda yang berilmu, berkeyakinan, dan berdaya saing.- Mohammad Amzari Bakri