UUM rangkul gelaran delegasi terbaik, pelajar dinobat pembahas terbaik di program Benchmarking University, Hello UMPSA 2.0
Gambar oleh Suhaimi Ismail
PAHANG, 18–20 September 2025 – Universiti Utara Malaysia (UUM) mencatat kejayaan apabila dinobatkan sebagai Delegasi Terbaik Universiti dalam Program Benchmarking University: Hello UMPSA 2.0 yang berlangsung di Universiti Malaysia Pahang (UMPSA).
Kejayaan ini semakin manis apabila salah seorang wakilnya, Khairuzzaman bin Muradi, Presiden Inapan Siswa (INASIS) TM, turut diumumkan sebagai Pembahas Terbaik dalam Pertandingan Usul Parlimen Mahasiswa.
Program tersebut menghimpunkan penyertaan daripada universiti awam termasuk Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta UMPSA selaku tuan rumah.
Selain itu, program ini turut menekankan perbincangan idea penambahbaikan kolej kediaman, khususnya melibatkan aspek pengurusan program berimpak tinggi dan pelaksanaan audit keselamatan. Delegasi UUM yang diketuai oleh Suhaimi Ismail, Pengetua INASIS BSN, tampil bersama barisan Presiden dan Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Pelajar (JKPS) INASIS yang memainkan peranan aktif dalam sesi perbincangan dan pembentangan.
Delegasi UUM bukan sahaja menyerlah dalam pertandingan melalui hujah bernas, kepimpinan berstrategi dan kerjasama berpasukan yang mantap, malah turut membuktikan komitmen tinggi dalam menyuarakan idea penambahbaikan kolej kediaman di peringkat kebangsaan.
Kejayaan ini sekali gus memperkukuh reputasi UUM sebagai pusat kecemerlangan akademik dan kepimpinan mahasiswa serta membuktikan kemampuan universiti melahirkan delegasi yang berwibawa dalam membawa suara mahasiswa ke peringkat kebangsaan.