Campus

UUM sumbang kepakaran dalam bengkel kerjaya industri halal 2025 di Melaka

Gambar oleh Dr. Muhammad Fikri Aziz

MELAKA, 9 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Institut Pengurusan Halal (IHM), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju ilmu halal apabila dijemput menyampaikan pengisian dalam Bengkel Kerjaya Industri Halal 2025 bersempena Program Halal Bi Halal Tahun 2025 yang berlangsung di Auditorium Masjid Al-Azim, Negeri Melaka.

Bengkel anjuran Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian dan Keusahawanan Melaka (MISDEC) dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) ini menghimpunkan pensyarah, pemain industri halal, pelajar universiti serta pelajar sekolah menengah sekitar Melaka yang berminat mendalami potensi kerjaya dalam bidang halal.

UUM diwakili oleh Dr. Muhammad Fikri Aziz, Felo Bersekutu IHM, IBS yang diundang sebagai penceramah jemputan. Dalam pembentangannya, beliau menekankan prospek kerjaya serta peluang masa depan dalam industri halal, khususnya melalui pendekatan Halal TVET (Technical and Vocational Education and Training).

“Pengukuhan agenda Halal TVET merupakan kunci dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi permintaan industri halal global. Hal ini bukan sahaja menyokong aspirasi pembangunan ekonomi negara, malah menyediakan laluan kerjaya yang jelas kepada generasi muda, seiring dengan gagasan Malaysia Madani,” katanya.

Beliau turut memperkenalkan program BHalal Mode 3u1i yang ditawarkan oleh UUM sebagai sebahagian daripada usaha universiti memperkukuh pendidikan tinggi dalam bidang halal.

Penyertaan UUM dalam program ini mencerminkan komitmen universiti untuk menyumbang kepakaran akademik serta memperluas jaringan strategik bersama pihak industri dan agensi negeri, khususnya dalam memperkasa pembangunan modal insan halal.

UUM melalui IHM, IBS akan terus komited memperkukuh agenda halal di peringkat nasional dan antarabangsa, termasuk dalam bidang Halal TVET dan pengajian tinggi seperti BHalal Mode 3u1i melalui penyelidikan, pengajaran serta khidmat masyarakat, selaras dengan visinya sebagai universiti pengurusan terkemuka. – Dr. Muhammad Fikri Aziz

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button