UUM–UNITAR meterai MoU perkasa inovasi akademik dan penyelidikan
Gambar oleh Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 2 Disember 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) dan UNITAR International University (UNITAR) hari ini memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang membuka lembaran baharu dalam kerjasama akademik, penyelidikan serta pembangunan sumber manusia antara kedua-dua institusi pendidikan tinggi tersebut.

Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Balai Tamu, Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin, UUM disempurnakan oleh Yang Berusaha Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, bersama Yang Berbahagia Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Sri Ir Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, Naib Canselor UNITAR.
Prof. Martadha menzahirkan rasa syukur atas kejayaan memeterai MoU yang disifatkannya sebagai langkah strategik bagi memperkukuh hubungan akademik antara UUM dan UNITAR.

“MoU ini menjadi landasan penting untuk memperkukuh, mempromosi dan mengembangkan kerjasama atas dasar kesaksamaan serta manfaat bersama,” katanya.
Melalui persefahaman tersebut, kedua-dua universiti bersetuju untuk melaksanakan pelbagai bentuk kerjasama termasuk mobiliti pelajar, pertukaran kakitangan akademik, pelantikan sarjana pelawat, penyelidikan bersama, penerbitan bersama, penyeliaan bersama dan penerokaan kerjasama penawaran program akademik secara francais.

“Saya berharap MoU ini membawa impak besar dalam memajukan ilmu, membangunkan modal insan dan menyumbang kepada pertumbuhan peradaban di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Naib Canselor UNITAR, Ir Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, turut menekankan komitmen institusinya terhadap pendidikan inklusif.
“UNITAR sentiasa memperjuangkan pendidikan yang mudah diakses dan inklusif. Melalui MoU ini, kami akan bekerjasama rapat dengan UUM dalam melaksanakan program dan inisiatif yang menyokong pembelajaran sepanjang hayat serta pembangunan modal insan negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama ini membuka laluan pendidikan kepada pelajar pada setiap peringkat kehidupan, memastikan pendidikan kekal relevan, fleksibel dan berimpak.
Turut hadir, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab, Penolong Naib Canselor COLGIS merangkap Dekan Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL) UUM; ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti; serta pegawai kanan dari kedua-dua universiti.



