UUMKL kukuh jaminan kualiti melalui Bengkel Akademik Bersama JHEA dan CAEP
Berita dan gambar Nur Afiqah Abu Bakar
KUALA LUMPUR, 25 November 2025: Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) terus komited memperkasakan tadbir urus akademik menerusi penganjuran Bengkel Jaminan Kualiti Akademik yang melibatkan kerjasama strategik bersama Jabatan Hal Ehwal Akademik (JHEA) dan Pusat Perancangan Dasar dan Kecemerlangan Akademik (CAEP) pada 20 November lalu.

Slot pertama dimulakan dengan pembentangan oleh Pengarah JHEA, Azian Nafiah, yang memberi penerangan mengenai dasar dan peraturan akademik terkini serta kepentingan integrasi MQF2024.
Beliau menekankan keperluan semua warga akademik memahami perubahan dasar ini agar sejajar dengan kehendak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Pengarah CAEP, Prof. Madya Dr. Mohd Zailani Mohd Yusoff, dalam ucapannya menyentuh aspek pemantauan pelaksanaan dan penilaian program akademik mengikut dasar dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan UUM, selain menekankan kepentingan pembangunan profesional warga akademik dan pentadbir di pusat pengajian.

Sesi diteruskan dengan pembentangan oleh Pengurus Analitik Pembelajaran dan Penambahbaikan Akademik (CAEP), Prof. Madya Dr. Mohamad Faizal Ahmad Zaidi yang membincangkan secara terperinci pelaksanaan Outcome Based Education (OBE).
Fokus diberikan kepada penyediaan Course Learning Outcomes (CLO), penjajaran konstruktif, strategi pentaksiran serta pelan pengajaran, diikuti dengan sesi hands-on berkaitan Continuous Quality Improvement (CQI).
Bengkel ini telah berjaya membuka ruang interaksi dan pemahaman lebih jelas dalam kalangan staf akademik UUMKL terhadap pendekatan sistematik serta berfokuskan kualiti dalam mengurus pembelajaran dan pengajaran, selain menjadi medan penting ke arah memastikan universiti terus kompetitif dan berkualiti tinggi dalam landskap pendidikan tinggi negara.



