Campus

UUMKL rai 198 graduan 2025

Gambar Siti Nurzulaikha Mohamad Hidayat

KUALA LUMPUR, 19 November 2025: Seramai 198 graduan Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) diraikan dengan penuh meriah dalam majlis Graduation Hi-Tea yang diadakan di Hotel Grand Millennium Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

Majlis turut dihadiri oleh pengurusan tertinggi universiti, antaranya Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd Sani, serta Prof. Dr. Norlena Hasnan yang kini menjalankan fungsi Ketua Kampus UUMKL.

Dalam majlis penuh berprestij ini, graduan yang memperoleh PNGK 3.80 ke atas telah menerima Best Student Award sebagai tanda penghargaan atas pencapaian cemerlang mereka. Selain itu, tiga graduan terbaik yang memperoleh PNGK 4.00 dianugerahkan Academic Excellence Award.

Wakil graduan, Shahrul Adly Abdullah dalam ucapannya menyatakan rasa syukur dan penghargaan kepada pihak universiti serta ahli keluarga yang sentiasa memberi sokongan.

“Kami mungkin datang dari latar belakang berbeza, tetapi hari ini kami berdiri bersama sebagai satu keluarga UUM. Terima kasih atas segala ilmu, bimbingan dan kenangan yang akan kami bawa ke masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Dr. Norlena menzahirkan rasa bangga atas kejayaan para graduan.

“Graduation Hi-Tea ini bukan sekadar meraikan kejayaan akademik, tetapi satu titik permulaan untuk anda terus menyumbang kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Naib Canselor UUM, Dr. Mohd Foad pula menyampaikan amanat agar graduan sentiasa menjunjung nilai integriti dan terus membawa nama baik universiti.

“Anda kini alumni UUM. Jadilah pemimpin yang bukan sahaja bijak, tetapi juga berakhlak tinggi,” katanya.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar, cabutan bertuah, jamuan makan dan acara ramah mesra yang mengukuhkan lagi hubungan antara warga universiti dan graduan yang kini secara rasmi bergelar Alumni UUM. – Nur Afiqah Abu Bakar

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button