Campus

Wacana intelektual AIIAD kupas masa depan regionalisme Asean

Gambar oleh : Hazree Hairudin

SINTOK, 1 Oktober 2025: Institut Hal Ehwal dan Diplomasi Antarabangsa Asia (AIIAD), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menganjurkan Siri Wacana Intelektual AIIAD 8/2025 bertajuk “Towards a More Effective ASEAN Regionalism: Features, Fulfilments and Future Directions” yang berlangsung di Auditorium, Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), UUM.

Wacana ini menampilkan Prof. Dr. Dewi Fortuna Anwar, Penyandang Kerusi Pok Rafeah ke-8, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sebagai penceramah utama.

Dalam pembentangannya, Prof. Dewi menyampaikan analisis yang bernas dan mendalam mengenai evolusi, pencapaian serta cabaran ASEAN dalam memperkukuh integrasi serantau di tengah-tengah perubahan geopolitik global.

Beliau menegaskan bahawa walaupun ASEAN telah berjaya memupuk keamanan dan kestabilan serantau, masih banyak ruang untuk memperkukuh struktur institusi dan mekanisme pelaksanaan bagi memastikan keberkesanan kerjasama serantau yang lebih menyeluruh.

“ASEAN perlu mengadaptasi pendekatan yang lebih dinamik dan responsif dalam menangani isu-isu semasa seperti perubahan iklim, transformasi digital, dan keselamatan manusia. Pendekatan konsensus semata-mata tidak lagi memadai dalam konteks geopolitik yang semakin kompleks,” katanya.

Sesi wacana ini telah dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Siti Darwinda Mohamed Pero, Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi), SoIS, yang turut mencetuskan perbincangan ilmiah mengenai bagaimana ASEAN dapat meningkatkan keberkesanan institusinya serta mengekalkan keutamaan (centrality) dalam landskap strategik Asia-Pasifik yang semakin mencabar.

Beliau turut menekankan bahawa siri wacana seperti ini penting untuk memperkukuh peranan UUM sebagai pusat rujukan ilmu dan perbincangan strategik serantau dalam bidang hubungan antarabangsa dan diplomasi.

Wacana ini berlangsung secara interaktif dengan penglibatan aktif daripada warga akademik UUM, pelajar pascasiswazah, dan penyelidik dasar awam.

Para peserta turut berkongsi pandangan serta persoalan kritikal mengenai masa depan regionalisme ASEAN, termasuk isu-isu berkaitan ASEAN Community 2045, tadbir urus serantau, dan peranan ASEAN dalam menghadapi perubahan geopolitik global.

Program ini dianjurkan secara bersama oleh AIIAD dan Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam memperkukuh peranan institusi sebagai hab keilmuan dan perbincangan strategik mengenai isu-isu serantau dan global. – Prof. Madya Dr. Siti Darwinda Mohamed Pero

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button