Campus

Warisan permainan melayu diperkenalkan kepada pelajar Kyoto Sangyo University Jepun

Gambar oleh Siti Rahimah binti Kamit

SINTOK, 1 Mac 2026: Seramai 25 pelajar dari Kyoto Sangyo University (KSU), Jepun berpeluang mendalami keunikan warisan budaya tempatan apabila menyertai sesi pengenalan permainan tradisional Melayu yang dianjurkan di Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena program musim panas yang berlangsung di kampus ini.

Sesi tersebut dikendalikan oleh pensyarah dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Dr. Nurul Rezuana Buyung, yang bertujuan memberi pendedahan secara teori dan praktikal terhadap permainan tradisional seperti congkak, batu seremban, ceper (penutup botol) dan bulu ayam.

Menurut Dr. Nurul Rezuana, permainan tradisional bukan sekadar aktiviti hiburan masyarakat dahulu, malah mencerminkan identiti dan nilai kehidupan komuniti Melayu.

“Permainan tradisional Melayu mencerminkan kekayaan warisan budaya Malaysia serta menggalakkan ikatan komuniti dan semangat kebersamaan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa setiap permainan mempunyai elemen pembangunan kemahiran tersendiri. Permainan congkak menekankan kemahiran berfikir secara strategik, perancangan serta pengiraan.

Batu seremban pula membantu meningkatkan koordinasi tangan-mata, fokus dan ketelitian. Permainan ceper mengasah ketepatan, kawalan pergerakan serta strategi taktikal, manakala bulu ayam (capteh) membangunkan keseimbangan badan, refleks dan kecergasan fizikal.

Sepanjang sesi berlangsung, pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan diberi peluang untuk mempelajari serta mencuba sendiri setiap permainan secara bergilir-gilir.

Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) ini bukan sahaja menjadikan suasana lebih interaktif dan menyeronokkan, malah membolehkan pelajar memahami nilai kesabaran, semangat kesukanan dan kerjasama yang menjadi asas kepada permainan tradisional tersebut.

Program ini secara tidak langsung memperkukuh pemahaman silang budaya antara Malaysia dan Jepun, selain mempromosikan warisan permainan Melayu kepada komuniti antarabangsa.

Inisiatif ini selaras dengan komitmen UUM dalam menyediakan pengalaman pembelajaran holistik yang menggabungkan kecemerlangan akademik dan penghayatan budaya di peringkat global. – Dr. Nurul Rezuana Buyung

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button