Warna-Warni Cultural Night meriahkan Program Mobiliti Antarabangsa SQS
SINTOK, 17 April 2025: Suasana penuh warna-warni dan semangat perpaduan jelas terpancar dalam Majlis Cultural Night dan Majlis Makan Malam yang berlangsung malam tadi, bagi meraikan pelajar yang terlibat dalam Program Mobiliti Antarabangsa.
Majlis anjuran Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) yang berlangsung dengan penuh meriah di Dewan SAC, Universiti Utara Malaysia ini bertujuan memperkukuh hubungan antara pelajar tempatan dan antarabangsa, di samping memperkenalkan keunikan serta kepelbagaian budaya Malaysia kepada para peserta dari luar negara.
Turut hadir memeriahkan majlis adalah Naib Canselor UUM, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Dekan serta penjawat SQS, Pengetua Inasis Petronas, Pensyarah SQS, pensyarah UST, staf Pentadbiran dan pelajar antarabangsa yang terdiri daripada 10 pelajar dari University of Santo Tomas (UST), Filipina, dan 6 pelajar dari High National School of Statistics and Applied Economy (ENSSEA), Algeria.
Majlis diserikan dengan persembahan tarian tradisional oleh para pelajar Pusat Budaya dan Seni.
Lebih istimewa, pelajar antarabangsa turut mengambil bahagian dengan mempersembahkan budaya dan tradisi dari negara asal masing-masing, menjadikan acara ini sebuah pengalaman silang budaya yang cukup bermakna.
Usai persembahan, para tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah tempatan, pencuci mulut, serta aneka kuih-muih tradisional yang menyelerakan.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar kenangan serta penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan, simbolik kepada memori indah dan jalinan persahabatan yang terjalin sepanjang program. – Sodah Ahmad