Campus

Yayasan Taqwa sumbang 20 komputer riba untuk pelajar IBS dan SOC

Gambar Muhamad Farhan Jamil

SINTOK, 3 Disember 2025: Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah melaksanakan satu inisiatif penting melalui penyerahan 20 unit komputer riba kepada pelajar terpilih Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Majlis penyerahan rasmi diadakan di Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UUM sebagai tanda penghargaan dan sokongan berterusan Yayasan Taqwa terhadap pembangunan pendidikan pelajar B40 di universiti tersebut. Penyerahan ini turut menjadi simbol hubungan erat antara institusi pendidikan dan agensi kebajikan yang komited membantu masyarakat.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa, Abdullah Zuhdee Abd Halim dan disaksikan oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) IBS, Prof. Madya Dr. Syarifah Md Yusof yang mewakili dekan.

Dr. Syarifah berkata,  semoga usaha ini terus memberi manfaat besar kepada pelajar-pelajar, khususnya golongan B40 dalam memperkasakan mereka untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam pengajian dan kehidupan.

“Sumbangan ini pada asalnya diumumkan ketika Konvensyen Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 13 November lalu, namun beberapa pelajar IBS tidak dapat hadir, justeru bagi memastikan amanah sumbangan disampaikan kepada penerima sebenar, Yayasan Taqwa mengadakan sesi khas di UUM.

“Langkah ini menggambarkan komitmen tinggi pihak yayasan untuk memastikan setiap bantuan sampai tepat kepada golongan yang memerlukan serta menepati matlamat kebajikan mereka,” katanya.

Lawatan delegasi Yayasan Taqwa juga diadakan sebagai tanda sokongan kepada usaha murni membantu pelajar B40 meningkatkan akses terhadap kemudahan pembelajaran.

Proses pemilihan pelajar penerima dilakukan secara teliti oleh pihak IBS berdasarkan beberapa kriteria utama, antaranya pelajar daripada keluarga B40, tidak mempunyai komputer riba, atau menggunakan peranti yang uzur dan tidak lagi berfungsi dengan baik.

Kriteria ini memastikan sumbangan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan demi menyokong pengajian dan tugasan harian mereka di universiti.

Pada majlis sama, seorang pelajar dari Pusat Pengajian Pengkomputeran turut menerima sebuah komputer riba dan bantuan kewangan setelah dipilih terus oleh Yayasan Taqwa untuk bersama-sama hadir menerima sumbangan tersebut.

Dr. Syarifah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yayasan Taqwa atas sumbangan bermakna ini, yang bukan sahaja membantu mengurangkan beban pelajar, tetapi turut memberi motivasi kepada mereka untuk terus cemerlang dalam pengajian.

Pihak IBS dan HEP juga menyatakan komitmen untuk meneruskan kerjasama strategik dengan Yayasan Taqwa dalam pelbagai program yang memberi manfaat kepada pelajar dan komuniti pada masa hadapan.

Sementara itu, Abdullah Zuhdee berkata, sebagai sebuah agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yayasan Taqwa terus memainkan peranan penting dalam aspek kebajikan, pendidikan dan pembangunan komuniti Islam.

“Melalui usaha murni seperti ini, Yayasan Taqwa membuktikan kesungguhan mereka dalam memperkasa masyarakat menerusi penglibatan aktif dalam sektor pendidikan, khususnya dalam membantu kelompok yang kurang berkemampuan,” katanya.

Hadir sama, Dekan HEP, Prof. Madya Dr. Zainuddin Omar dan penganjur bersama program ini. – Prof. Madya Dr. Mohd Sollehudin Shuib

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button