Ziarah Kasih Ramadan STML santuni staf cuti sakit dan bersalin
Berita dan gambar Salina Ali
SINTOK, 8 Mac 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) terus menyemarakkan semangat kebersamaan dalam bulan Ramadan melalui penganjuran program Ziarah Kasih Ramadan yang diadakan pada 5 Mac lalu.
Program ini menyaksikan Dekan STML, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim bersama ahli Jawatankuasa Kebajikan dan Sukan STML turun padang menziarahi beberapa staf yang sedang menghadapi masalah kesihatan serta staf yang sedang bercuti bersalin.

Dr. Mohd Kamarul Irwan berkata, inisiatif ini bertujuan menyampaikan sokongan moral, selain mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan warga STML.
Antara staf yang diziarahi ialah Dr. Fatimah Azzahraa’ Mohd Sobri yang kini bercuti bersalin dan sedang ditemani suami, Dr. Wadi Khalid Anuar ketika menerima kunjungan rombongan STML.
Selain itu, rombongan turut menziarahi Prof. Madya Dr. Kamaruddin Radzuan dan Dr. Rosman Iteng yang sedang bercuti sakit.

Program ini mencerminkan keprihatinan dan semangat kekeluargaan yang kukuh dalam kalangan warga STML.
Lebih bermakna, ia dilaksanakan dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan, sekali gus mengingatkan tentang nilai kasih sayang, empati dan kebersamaan dalam komuniti tempat kerja.
Semoga semua staf yang diziarahi dikurniakan kesembuhan, kesihatan yang baik serta dipermudahkan segala urusan.



