2nd Global Conference on Educational Research and Practices (GOCERP 2025) berlangsung gemilang di Hotel EDC UUM
Gambar oleh: Encik Azhar & Cik Intan
SINTOK, 23 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan 2nd Global Conference on Educational Research and Practices (GOCERP 2025) dengan penuh gemilang di Hotel EDC UUM.
Majlis perasmian pembukaan disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Farah Mohamad Zain, Timbalan Dekan, Penyelidikan dan Inovasi, Pusat Pengajian Pendidikan UUM. Dalam ucapannya, Dr. Farah menekankan kepentingan persidangan antarabangsa ini sebagai platform untuk para sarjana bertukar idea, memperkukuh kolaborasi rentas negara serta meneroka penyelesaian inovatif terhadap cabaran semasa dalam bidang pendidikan.
Beliau turut menegaskan bahawa penyelidikan dan perkongsian amalan terbaik merupakan kunci dalam melahirkan pendidik serta institusi pendidikan yang berdaya saing di peringkat global.
Majlis penutupan pula dirasmikan oleh Dr. Nazmin binti Abdullah, Pengarah GOCERP 2025.
Persidangan antarabangsa ini mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran 70 pembentang daripada pelbagai institusi dalam dan luar negara.
Penganjuran kali ini turut menampilkan kolaborasi erat bersama Universitas Muhammadiyah Prof. Dr. Hamka (UHAMKA), Indonesia, dan Mahasarakham University, Thailand, sekali gus memperkukuh jaringan akademik serantau.
Barisan keynote speaker yang menjadi tumpuan terdiri daripada Prof. Dr. Fauziah Abdul Rahim dari Pusat Pengajian Pendidikan UUM, Prof. Madya Dr. Purnama Syaepurohman dari Universitas Muhammadiyah, Prof. Dr. Hamka (UHAMKA), Indonesia, serta Prof. Madya Dr. Songsak Phusee Orn dari Mahasarakham University, Thailand.
Ketiga-tiga tokoh tersebut berkongsi pandangan bernas mengenai cabaran dan masa depan penyelidikan pendidikan dalam era globalisasi. Mereka menekankan keperluan menyesuaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran dengan perkembangan teknologi digital, memperkukuh kolaborasi rentas disiplin dan negara, serta mengangkat isu inklusiviti dalam pendidikan agar tiada kumpulan yang tercicir.
Perkongsian tersebut bukan sahaja memberi perspektif baharu kepada para peserta, malah membuka ruang perbincangan strategik bagi merangka hala tuju penyelidikan pendidikan yang lebih relevan dan mampan pada masa hadapan.
Dalam ucapan penutupnya, Dr. Nazmin merakamkan penghargaan kepada semua jawatankuasa penganjur dan sukarelawan yang telah bekerja keras memastikan kelancaran program.
“GOCERP 2025 bukan sahaja medan perkongsian ilmu, malah platform penting untuk memperkukuh kolaborasi akademik rentas sempadan,” katanya.
Penganjuran GOCERP 2025 sekali lagi membuktikan komitmen UUM sebagai universiti pengurusan terulung yang sentiasa mendukung agenda kecemerlangan penyelidikan dan inovasi pendidikan di peringkat global. – Dr. Nazmin binti Abdullah