AEF 2025 himpun pelajar ASEAN kukuh hubungan dan lahir pemimpin baharu
Gambar Muhammad Iqbal Roslan
SINTOK, 13 Februari 2025: Pendidikan adalah asas masa hadapan ASEAN yang mampu mencipta inovasi dan pembelajaran silang budaya, di samping memupuk generasi baharu pemimpin yang berdedikasi untuk memajukan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, dengan menggalakkan mobiliti pelajar di seluruh negara ASEAN akan mengukuhkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dan melahirkan pemimpin baharu ASEAN dalam kalangan pelajar universiti.
Menurutnya, pihak UUM sangat amat mengalu-alukan semua peserta ke Program Mobiliti Pelajar ASEAN yang berlangsung dari 11 hingga 25 Februari ini bersempena dengan Pameran dan Forum Universiti Pelajar ASEAN 2025 (AEF2025) di UUM dan Selangor.
Katanya, perhimpunan terbilang ini yang menyatukan lebih 500 pelajar daripada lebih 100 universiti di seluruh ASEAN, merangkumi semangat kerjasama serantau, kecemerlangan akademik, dan pemerkasaan belia.
“Inisiatif ini berfungsi sebagai platform dinamik untuk pelajar terlibat dengan isu serantau dan global yang mendesak melalui pertukaran akademik, pameran inovasi dan dialog kepimpinan.
“Ia menawarkan peluang untuk bertukar-tukar pengetahuan, mewujudkan rangkaian, dan membangunkan penyelesaian yang menyumbang kepada ASEAN yang lebih inklusif, berdaya tahan dan mampan,” katanya ketika merasmikan ASEAN Student Mobility Program 2025, baru-baru ini.
Beliau berkata, persahabatan dan kerjasama yang terjalin di sini akan merentasi sempadan, memperkukuh kuasa transformatif pendidikan dalam menyatukan rantau ini.
Dr. Mohd Foad juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua universiti yang mengambil bahagian dan rakan kongsi yang dihormati yang menyumbang kepada menjayakan acara ini.
Menurutnya, dedikasi diberi mencerminkan visi kecemerlangan bersama dalam pendidikan tinggi dan komitmen terhadap pertumbuhan kolektif ASEAN.
Sementara itu, Pengarah Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Arpah Abu Bakar berkata, setiap pelajar mesti merebut peluang ini untuk melibatkan diri dalam pembelajaran dan berhubung dengan rakan sebaya di peringkat ASEAN.
Katanya, sebagai pemimpin masa hadapan ASEAN, idea, tenaga dan dedikasi pelajar mampu membentuk persefahaman dalam rantau ini pada masa akan datang.
“Selamat datang ke Malaysia, selamat datang ke Universiti Utara Malaysia dan selamat datang ke AEF2025.
“Semoga program ini menjadi pengalaman yang memperkaya dan transformatif untuk semua,” katanya. – Mohd Azri Abdul Aziz