Education

Ahli GBC UUM timba pengalaman berharga di Thaksin University International Social Innovation Camp 2025

Gambar Tan Yan Ying

PHATTALUNG, 6 Ogos 2025: Dua ahli Kelab Global Buddies (GBC) dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Ravinndra S. Karithigesu Thevar dan Tan Yan Ying, telah mewakili universiti dalam program Thaksin University International Social Innovation Camp (TSU SIC) 2025 yang berlangsung dari 12 hingga 18 Julai lalu di Thaksin Universiti, Songkhla dan Wilayah Phatthalung, Thailand.

Program selama seminggu ini menghimpunkan peserta antarabangsa untuk bekerjasama dalam projek inovasi sosial berasaskan komuniti, dengan matlamat memperkukuh kemahiran penyelesaian masalah, pertukaran budaya, serta membina jaringan akademik.

Acara ini telah menghimpunkan pelajar dari 29 institusi rakan kerjasama antarabangsa TSU dan merangkumi siri kuliah, lawatan tapak, projek berkumpulan, serta pertandingan pembentangan akhir.

Ravinndra dan Yan Ying telah merasai pengalaman unik sepanjang penyertaan dalam program TSU SIC merangkumi lawatan ke pusat kraftangan seperti Lenoi Craft Community Enterprise dan Sri Naka Natural Dyeing Local Enterprise, serta kelas masakan Thai, demonstrasi tinju Muay Thai, dan bengkel urutan Thai.

Salah satu kemuncak program ini adalah projek berkumpulan, di mana peserta diberi cabaran untuk membangunkan prototaip inovasi sosial yang mampu memberi manfaat kepada komuniti setempat. Berdasarkan pengalaman lawatan dan bimbingan daripada mentor, setiap kumpulan membentangkan idea mereka semasa Pameran Inovasi Selatan TSU.

Mengulas mengenai pengalaman tersebut, Ravinndra berkata, penyertaan dalam kem ini benar-benar membuka matanya kerana ia membantu memahami bagaimana pengetahuan tempatan boleh mencetuskan inovasi bertaraf global.

“Sokongan daripada mentor dan keramahan rakyat Thailand menjadikan pengalaman ini sangat bermakna,” katanya.

Yan Ying pula menzahirkan penghargaan mengenai penganjuran kem seumpama ini yang menggabungkan elemen kebudayaan dengan inovasi.

Menurutnya, ia bukan sekadar satu lagi sesi pembelajaran, tetapi bagaimana kerjasama dan minda global boleh memberi impak kepada pembangunan komuniti setempat.

Kedua-dua ahli GBC turut berpeluang merasai keunikan budaya Thailand melalui lawatan ke mercu tanda utama seperti Patung Duyung Emas dan Bandar Lama Songkhla, di samping mendalami Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menerusi sesi kuliah dan perbincangan dalam kumpulan.

Penyertaan mereka mencerminkan komitmen UUM dalam melahirkan pelajar berperwatakan global serta memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antarabangsa yang terjalin antara UUM dengan TSU. – Ravinndra S. Karithigesu Thevar

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button