Ancaman baharu cetus keganasan
SINTOK, 17 April 2025: Platform media sosial, permainan dalam talian dan teknologi kecerdasan buatan (AI) kini menjadi medium baharu yang dieksploitasi oleh kumpulan pengganas untuk merekrut ahli, menyebarkan propaganda serta merancang strategi keganasan.
Menurut Pengarah Penyelidikan dan Penerbitan, Southeast Asia Regional Centre for Counter-Terrorism (SEARCCT), Kennimrod Sariburaja A/K James Pasaribu, teknologi yang sepatutnya digunakan untuk meningkatkan produktiviti dan memudahkan komunikasi harian, kini disalahgunakan untuk tujuan keganasan.
“Terdapat kes di mana permainan video telah diubah suai bagi menyebarkan mesej kebencian secara halus, manakala algoritma media sosial pula mengukuhkan naratif toksik yang memecahbelahkan masyarakat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan dalam program University Lecture Series: Terrorism and Counter-Terrorism in Malaysia di Dewan Seminar B, Pusat Konvensyen, Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.
Mengulas lanjut, beliau mendedahkan bahawa Malaysia mencatatkan penggunaan internet kelapan tertinggi di dunia dan kedua di Asia Tenggara, dengan purata penggunaan sebanyak 8 jam 17 minit sehari.
“Penggunaan internet yang berlebihan membuka ruang kepada kumpulan pengganas untuk mengeksploitasi pengguna. Misalnya, dalam insiden pengeboman di Petaling Jaya, siasatan mendapati pelaku tidak pernah berjumpa secara fizikal dengan perekrut, sebaliknya hanya berkomunikasi melalui media sosial dan aplikasi Telegram,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa permainan dalam talian juga telah dijadikan medium untuk menyebarkan propaganda dan merekrut ahli kumpulan.
“Bayangkan jika 20 juta daripada 34 juta rakyat Malaysia bermain permainan dalam talian. Ini menunjukkan potensi penyalahgunaan yang besar. Permainan tersebut dimodifikasi agar selari dengan ideologi kumpulan pengganas, sekaligus menjadi alat rekrut secara halus,” tambahnya.
Kennimrod turut menyentuh tentang penggunaan teknologi AI untuk menghasilkan kandungan ekstrem, termasuk video deepfake yang kelihatan meyakinkan, sekali gus menjadi cabaran baharu dalam menangani keganasan.
Dalam usaha membendung ancaman ini, SEARCCT melaksanakan pelbagai inisiatif seperti latihan, penyelidikan, penerbitan ilmiah serta program kesedaran awam berteraskan pendekatan lunak, termasuk dialog antara agama dan pemupukan perpaduan masyarakat.
“Kita mahu memastikan rakyat tidak terpengaruh dengan ideologi keganasan yang menghalalkan pembunuhan dan pengeboman. Bukan sahaja ancaman dari Daesh dan ISIS, tetapi juga daripada kumpulan berhaluan kanan perlu diberi perhatian, termasuk kepada pelajar Malaysia di luar negara,” jelasnya lagi.
Forum ini turut menampilkan Pensyarah Undang-Undang, Dr Mukhriz Mat Rus, manakala pelajar Sarjana Muda Undang-Undang, Nurul Syamim Imran bertindak sebagai moderator.
Sebagai agensi di bawah Kementerian Luar Negeri Malaysia, SEARCCT memainkan peranan utama dalam memperkasa pendekatan lunak dalam menangani ekstremisme ganas.
SEARCCT ditubuhkan hasil inisiatif bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, pasca tragedi 11 September yang menyebabkan Amerika Syarikat memandang Asia Tenggara sebagai ‘sarang’ pengganas. Meskipun negara lain menerima pembiayaan asing untuk menubuhkan pusat seperti ini, Tun Abdullah menolak campur tangan kuasa luar—satu langkah bijak dalam menjaga kedaulatan negara.