Education

ARICG dan FAMA perkukuh peluang kerjasama strategik

Berita dan gambar Norhafiza Hashim

BATU CAVES, 12 Ogos 2025: Asian Research Institute for Corporate Governance (ARICG), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi membincangkan peluang kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan dan latihan berkaitan tadbir urus korporat.

Kunjungan hormat yang diketuai oleh Pengarah ARICG, Prof. Dr. Noor Afza Amran dan Timbalan Pengarah ARICG, Prof. Dr. Halimah Abdul Manaf telah disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Industri Agromakanan), Suraya Yusof bersama pegawai kanan FAMA.

Dalam pertemuan ini, kedua-dua pihak telah membincangkan potensi kolaborasi termasuk pembangunan modul latihan dan aplikasi mudah alih pengurusan kewangan dalam kalangan penjaja kecil FAMA.

Dr. Noor Afza menyatakan bahawa kunjungan ini adalah langkah penting dalam merealisasikan peranan UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka yang aktif membina jaringan kerjasama dengan agensi strategik berkaitan bidang kepakaran ARICG.

“Kita yakin bahawa kerjasama ini akan memberi impak langsung kepada pembangunan perniagaan dalam kalangan penjaja kecil yang mampan dan berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, Suraya menyambut baik cadangan kerjasama ini dan menganggapnya sebagai peluang untuk menggabungkan kepakaran akademik dengan pengalaman lapangan, khususnya dalam meningkatkan pembangunan modal insan penjaja kecil FAMA.

Kunjungan hormat ini diakhiri dengan sesi bergambar dan pertukaran cenderamata sebagai tanda penghargaan antara UUM dan FAMA.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button