Education

AWAS! Jangan sampai terlajak kongsi info di media

Berita dan gambar Riman Shah Ralis 

SINTOK, 10 Disember 2024: Penyampaian bersahaja tapi penuh peringatan daripada Penolong Pengarah di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Negeri Kedah, Sharliza Shaari telah membuka minda dan kesedaran dalam kalangan audien di Dewan Seminar SMMTC.

Program anjuran Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) dengan kerjasama Kelab Kebajikan SMMTC dan pelajar-pelajar kursus SCCAK3223 Komunikasi Pembujukan, meronakan tema ceramah bertajuk “Opps.. Terlajak Kongsi!! Waspada Perangkap si Penipu” itu telah dihadiri oleh hampir 150 pelajar dan staf UUM.

Ceramah ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai ancaman siber dan penipuan dalam talian yang semakin berleluasa di Malaysia.

Pengarah IPDM, Prof. Ts. Dr. Ariffin Abdul Mutalib dalam ucapan aluannya melahirkan rasa teruja untuk mendengar perkongsian daripada pihak SKMM.

Menurutnya, input tentang isu penipuan seharusnya sentiasa diuar-uarkan kepada masyarakat sebagai langkah berjaga-jaga dalam menjalani kehidupan seharian.

Ceramah dimulakan dengan perkongsian oleh Sharliza yang menerangkan pelbagai jenis ancaman siber yang berbahaya, termasuk penyamaran identiti, terlebih kongsi (oversharing), penggodaman, kecurian maklumat, dan pelbagai bentuk penipuan dalam talian yang sering berlaku dalam kalangan pengguna internet.

Menurutnya, kesedaran tentang keselamatan digital amat penting terutama dalam dunia yang mempunyai tahap kebergantungan yang tinggi kepada teknologi.

Beliau mengingatkan pengguna untuk berhati-hati dengan informasi yang dikongsi dalam talian kerana ia boleh disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Pengguna media sosial khususnya perlu sedar bahawa setiap perkongsian dalam talian mempunyai risiko dan boleh membuka ruang kepada penipuan serta penyalahgunaan maklumat,” katanya.

Sharliza menegaskan bahawa berkongsi maklumat peribadi seperti alamat rumah, nombor kad pengenalan, nombor telefon, dan gambar intim tanpa berfikir panjang boleh membawa kepada penipuan dan penyalahgunaan data peribadi.

Beliau juga memberi amaran bahawa menyebarkan maklumat palsu dianggap salah sama seperti individu yang mencipta maklumat palsu tersebut.

“Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menyemak kesahihan maklumat sebelum mempercayai dan menyebarkannya. Ini termasuk menilai latar belakang syarikat atau individu yang menawarkan peluang pekerjaan atau produk dalam talian,” katanya.

Ceramah tersebut turut menyentuh pelbagai jenis penipuan dalam talian seperti “job scam” yang menyebabkan beberapa pelajar universiti kerugian lebih RM10,000, serta Macau Scam yang melibatkan penipuan kewangan yang mengakibatkan kehilangan wang yang cukup banyak dalam kalangan masyarakat khusus individu yang mempunyai pendapatan yang tinggi.

Beliau mengingatkan peserta agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang kelihatan terlalu mudah dan berunsur tidak logik untuk menjadi kenyataan, tetapi berusahalah dengan hasil keupayaan sendiri.

Sharliza turut berkongsi beberapa tip penting untuk mengelakkan menjadi mangsa penipuan siber, antaranya:

  1. Jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang terlalu bagus untuk menjadi kenyataan.
  2. Jangan panik jika menerima tawaran yang mencurigakan, sebaliknya semak latar belakang syarikat atau individu yang terlibat.
  3. Pastikan membeli barangan hanya melalui official store atau laman web yang sah.
  4. Gunakan kaedah pembayaran yang selamat, seperti PayPal, untuk transaksi dalam talian.

Di akhir program, Sharliza mengingatkan peserta bahawa sebagai pengguna internet, mereka terikat dengan pelbagai undang-undang yang bertujuan melindungi diri dan orang lain daripada ancaman dalam talian.

“Internet dan media sosial adalah alat yang neutral, bergantung kepada pengguna untuk menggunakannya dengan bijak. Kebanyakan jenayah siber berpunca daripada tindakan pengguna itu sendiri. Oleh itu, tingkatkan pengetahuan tentang risiko yang ada di dunia maya,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button