Bakat Seni, Jiwa Pendidikan: UUM dan ASWARA mantapkan usaha pembangunan kreatif
Berita dan gambar Dr. Faizahani Abd Rahman
KUALA LUMPUR, 17 Jun 2025: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan komitmen memperluas jaringan strategik pendidikan menerusi kunjungan hormat ke Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada 29 Mei lalu.
Delegasi SOE yang diketuai oleh Dekan, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman bersama beberapa penjawat telah disambut mesra oleh kepimpinan ASWARA dalam sesi kunjungan yang membincangkan potensi kolaborasi dalam bidang pendidikan, latihan profesional dan pembangunan bakat khususnya dalam konteks seni, budaya dan warisan negara.
Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi berstatus badan berkanun di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), ASWARA berperanan penting dalam memelihara, mengembang dan memartabatkan seni budaya negara melalui pendekatan akademik dan latihan profesional.
Dengan tumpuan terhadap pendidikan dalam bidang seni tari, muzik, teater, penulisan, animasi, filem dan rekaan, ASWARA menjadi platform utama melahirkan bakat seni tanah air yang berkualiti dan berdaya saing.
Dr. Mohamad Khairi berkata, perbincangan turut memberi penekanan terhadap peluang penawaran program akademik UUM seperti Doktor Pendidikan (EdD), Sarjana Pendidikan dan program pascasiswazah seperti PGDE dan PGDHELT bagi memenuhi keperluan peningkatan akademik dan pedagogi dalam kalangan tenaga pengajar serta pelaksana kurikulum di ASWARA.
Kursus jangka pendek seperti Sijil Profesional Kurikulum Kreatif, Kepimpinan Institusi Seni, serta Pedagogi Pendidikan Seni turut dikemukakan sebagai tawaran pembangunan profesional yang bersifat fleksibel dan berimpak tinggi.
“SOE bersedia untuk menjadi rakan akademik strategik kepada ASWARA dalam usaha membangunkan ekosistem pendidikan seni yang lebih dinamik, inklusif dan berorientasikan kualiti.
“Penekanan turut diberikan terhadap pembangunan bakat muda dalam kalangan pelajar ASWARA yang bukan sahaja berkemahiran dalam bidang seni, tetapi juga berupaya menterjemah kreativiti ke dalam bentuk kepimpinan pendidikan dan pengajaran berkesan,” katanya.
Beliau berkata, kolaborasi antara UUM dan ASWARA merupakan suatu sinergi unik yang dapat menghubungkan kekuatan akademik dan keaslian warisan budaya negara.
Menurutnya, ASWARA memiliki aset seni dan budaya yang luar biasa dan SOE UUM komited untuk menyokong pembangunan modal insan ASWARA melalui pendekatan pendidikan yang berstruktur, berasaskan penyelidikan dan berorientasikan impak.
Pihak ASWARA turut menyatakan keterbukaan dan penghargaan terhadap kesediaan SOE UUM untuk bekerjasama dalam membentuk laluan pembangunan kerjaya dan bakat, khususnya dalam kalangan pensyarah, pelajar dan pentadbir ASWARA.
Kunjungan tersebut diakhiri dengan sesi pertukaran cenderahati dan perbincangan susulan ke arah pemeteraian kerjasama yang lebih formal dalam masa terdekat.