Education

Bengkel URBlok Batik 2025 serlah kreativiti dan teknologi dalam seni warisan

Berita dan gambar Dr. Amalia Rosmadi dan Dr. Hanis Salwani Othman

KUALA NERANG, 30 Julai 2025: Kerjasama strategik antara Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) di bawah Institut Pengurusan Industri Kreatif dan Kelestarian Budaya (ICIMSC) Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) telah menganjurkan program Bengkel URBlok Batik & Cap Batik Komuniti@UniMADANI.

Progam Ini dilaksanakan melalui Geran Program Pendayaan Komuniti Universiti Awam yang berlangsung dalam dua fasa iaitu pada 23 Julai dan 26 hingga 27 Julai lalu.

Program ini diketuai oleh Ts. Izzati Nabila Marzuki daripada UniMAP bersama beberapa pensyarah bidang Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal. Program turut dihadiri oleh beberapa pensyarah SCIMPA iaitu Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Dr. Syamsul Bahrin Zaibon; Pengarah ICIMSC, Dr. Hanis Salwani Othman; Pengurus CACE, Dr. Adzira Husain dan Dr. Amalia Rosmadi, serta guru-guru dari Kolej Vokasional Kangar.

Pengarah ICIMSC, Dr. Hanis Salwani berkata, bengkel ini menggabungkan elemen warisan seni batik dengan inovasi teknologi terkini pembuatan blok atau cap batik menerusi pendekatan hands-on, yang telah dihadiri oleh 50 peserta terdiri daripada komuniti Kampung Lebai Saman, pelajar dari UUM dan pelajar Kolej Vokasional Kangar.

Bengkel fasa 1 telah berlangsung pada 23 Julai di Makmal Rekabentuk Fakulti UniMAP, dengan fokus utama pada proses reka bentuk dan pemotongan blok batik menggunakan mesin CNC.

Peserta telah diberi peluang untuk mencipta blok batik mereka sendiri dengan bantuan fasilitator terlatih serta tenaga akademik.

Sementara itu, fasa kedua pula telah dilaksanakan pada 26 dan 27 Julai di Kampung Lebai Saman, Naka. Fasa ini memfokuskan kepada teknik mencap dan mewarnakan kain batik, dengan bimbingan daripada pembatik profesional tempatan iaitu Rosnah Musa dan Khairizal Ishak.

Pendekatan ini bukan sahaja memperkasakan komuniti setempat, malah memupuk penghargaan terhadap seni batik dalam kalangan generasi muda.

Program ini turut menekankan kepentingan kerjasama antara universiti dan komuniti dalam memulihara dan memodenkan seni tradisi negara.

Program ini bukan sekadar satu inisiatif pendidikan, malah menjadi platform pemindahan ilmu dan teknologi yang menjadikan seni batik lebih inklusif dan lestari, seiring dengan aspirasi UniMADANI dan Matlamat Pembangunan Mampan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button