Bengkel Pemerkasaan Tadbir Urus dan Program Pascasiswazah STML 2025 perkasa tadbir urus dan semai nilai komuniti
Gambar Mohd Hafiz Alaihudin
PULAU PANGKOR, 19 Ogos 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Pemerkasaan Tadbir Urus dan Program Pascasiswazah di Pangkor Palm Bay Resort, Perak.
Bengkel ini telah dirasmikan oleh Dekan STML, Prof. Madya Dr. Mohamed Najib Salleh.
Menurutnya, program selama tiga hari ini bertujuan memperkukuh tadbir urus dalaman serta menilai semula pelaksanaan tugasan secara holistik dalam kalangan pentadbir dan penjawat akademik.
“Bengkel ini juga menjadi wadah penting dalam merapatkan hubungan sesama staf serta memperkukuh kerjasama ke arah memperkasakan program pascasiswazah STML,” katanya.
Antara pengisian utama bengkel ialah sesi bersama Dr. Mohamed Najib yang menyentuh peranan strategik staf dalam memperkasakan tadbir urus STML.
Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Madya Dr. Norsiah Hami turut berkongsi strategi pemasaran dan penjanaan program akademik, manakala Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim membentangkan Laporan Suku Kedua Pelan Strategik STML dan menekankan kejayaan STML sebagai Johan Keseluruhan Anugerah Kecemerlangan Pelan Strategik UUM bagi tahun 2023 dan 2024.
Beliau turut menyeru seluruh warga STML untuk terus mengekalkan momentum kecemerlangan ini bagi mencapai sasaran 2025.
Bengkel ini turut diserikan dengan aktiviti team building serta pengisian University Social Responsibility (USR) yang berlangsung di Kampung Penyu, Pulau Pangkor.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk penyemaian dan penanaman pokok ambong-ambong (Scaevola taccada), sesi perkongsian ilmu mengenai kitaran hidup penyu oleh Rasli Ibrahim (Pak Lang), serta pengalaman melepaskan anak-anak penyu ke laut sebagai simbolik usaha pemuliharaan biodiversiti marin.
Program diteruskan dengan lawatan dan penyerahan sumbangan buku oleh UUM Press dan Perpustakaan Sultanah Bahiyah kepada dua institusi pendidikan tempatan iaitu Sekolah Kebangsaan Seri Pangkor dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkor.
Dr. Mohamed Najib berkata, inisiatif ini bertujuan memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat dan menyemai budaya ilmu dalam kalangan pelajar.
Turut diadakan sesi perbincangan berkaitan keperluan sekolah serta perancangan aktiviti bersama pada masa akan datang.
Secara keseluruhannya, bengkel ini telah mencapai matlamatnya dalam memperkukuh tadbir urus STML, mempererat hubungan antara staf akademik dan pentadbiran, serta memperluas penglibatan dengan komuniti setempat. – Salina Ali