Bengkel perkukuh pelaksanaan WBL subjek BHalal tekankan kolaborasi industri, nilai jihad ilmu
Berita dan gambar Dr. Hawwa Abdul Mokti
SINTOK, 16 April 2025: Bengkel Pengukuhan Pelaksanaan Work-Based Learning (WBL) bagi subjek BHalal telah dianjurkan pada 13 April lalu EDC UUM.
Bengkel ini menghimpunkan tenaga akademik dan wakil industri dalam usaha memperkukuh pelaksanaan WBL yang melibatkan penempatan pelajar dalam industri halal secara lebih sistematik dan efektif.
Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Prof. Madya Dr. Selamah Maamor berkata, antara objektif utama bengkel ini adalah untuk menambah baik kurikulum dan kaedah penilaian, menyesuaikan kandungan pembelajaran dengan keperluan industri sebenar, serta membina kerjasama dua hala yang mantap antara institusi pengajian dan pemain industri.
Menurutnya, dalam sesi pembentangan dan perbincangan, pelbagai isu penting diketengahkan termasuk struktur penempatan pelajar.
“Pelajar diingatkan supaya bersedia menghadapi realiti kerja termasuk bekerja dalam syif malam, tugasan hujung minggu dan cabaran multitugas.
“Bengkel turut menekankan kepentingan komitmen aktif daripada pihak industri, bukan sekadar sebagai tempat penempatan pelajar tetapi juga sebagai pembimbing yang memberi tunjuk ajar serta peluang pembelajaran yang bermakna,” katanya.
Sementara itu, Profesor Adjung IBS UUM, Amri Abdullah turut memberi nasihat yang menyentuh hati.
Beliau menggesa pensyarah agar berusaha menanamkan semangat jihad ilmu dalam diri pelajar, khususnya pelajar program BHalal.
“Hal ini kerana merekalah yang akan berada di tengah-tengah industri, dan bertanggungjawab sepenuhnya memastikan kehalalan sesuatu produk. Merekalah mata-mata JAKIM di lapangan. Tanggungjawab ini sangat berat, dan harus dipikul dengan ilmu, iman dan integriti.
“Kefahaman tentang halal bukan sekadar teori tetapi satu amanah besar yang akan ditanya di akhirat kelak,” katanya.
Selain itu, aspek penggunaan teknologi IR4.0 turut diberi perhatian, dengan cadangan agar pelajar didedahkan kepada teknologi seperti digital dashboard, blockchain halal dan sistem pelaporan awan yang mampu meningkatkan keberkesanan pelaksanaan audit dan dokumentasi.
Bengkel juga mengambil maklum kebajikan pelajar generasi baharu (Gen Z) yang berdepan tekanan semasa latihan. Syor diberikan agar universiti menyediakan modul kesediaan psikologi dan emosi sebagai langkah awal sebelum penempatan industri.
Secara keseluruhan, bengkel ini telah berjaya merumuskan cadangan-cadangan strategik ke arah penambahbaikan pelaksanaan subjek WBL bagi program BHalal. Usaha ini dijangka mampu melahirkan graduan yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, tetapi juga berjiwa besar dalam membawa amanah halal ke medan industri sebenar.