Bicara Editor ‘Otai’ meriahkan program perkongsian ilmu MAPIM
Gambar Zuraizee Zulkifli
KUALA TERENGGANU, 5 Mei 2025: Dunia penerbitan ilmiah terus mendapat suntikan semangat menerusi penganjuran Program Meja Bulat, Bengkel dan Perkongsian Ilmu anjuran Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) yang berlangsung selama dua hari, bermula 28 hingga 29 April lalu di Studio Al-Quran, Pusat Islam Sultan Mahmud, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Program anjuran Jawatankuasa Editorial MAPIM ini adalah hasil kerjasama erat ahli jawatankuasa terdiri daripada Penerbit USIM, UMT, UUM, UIS, UM dan USM yang berjaya menghimpunkan peserta dalam kalangan editor serta individu yang terlibat menguruskan penerbitan ilmiah pelbagai institusi.
Sesi pertama dimulakan dengan sesi taaruf yang menjadi platform awal bagi perkongsian amalan dan pengalaman masing-masing dalam dunia penyuntingan serta penerbitan akademik.
Sesi kedua pula merupakan Sesi Perkongsian Ilmu: Cabaran Perolehan Manuskrip Berkualiti yang menampilkan tiga tokoh berpengalaman dalam dunia penerbitan iaitu Shaaban Mustafa (Penerbit UM), Rosma Ishak (UUM Press) dan Rabil Sitta Abdul Rahman (Penerbit UMT) selaku moderator.
Dalam sesi ini, kedua-dua tokoh utama berkongsi pandangan mengenai peranan penting editor dalam membentuk kandungan bermutu tinggi, isu semasa dunia penerbitan ilmiah, serta amalan, cabaran dan peluang perolehan manuskrip dalam era digital masa kini.
Program ini memberi ruang kepada peserta menyelami permasalahan dunia penerbitan ilmiah secara lebih dekat yang meliputi perbincangan tentang amalan terbaik, strategi pemerkasaan naskhah akademik, dan hala tuju penerbitan ilmiah pada masa depan.
Hari kedua pula menampilkan Normala Mohamad Yusof dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berkongsi pengalaman beliau yang dua kali dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Editor Naskhah Buku Terbaik MAPIM. Dalam sesi tersebut, beliau menekankan kepentingan menjaga mutu penyuntingan dalam setiap pengurusan manuskrip, selari dengan tanggungjawab editor sebagai penjaga kualiti ilmu dan bahasa.
Beliau turut berkongsi cabaran serta pendekatan yang digunakannya dalam menyunting naskhah agar mencapai piawaian tertinggi, sekali gus memberi inspirasi kepada para editor untuk lebih teliti dan beretika dalam proses penyuntingan ilmiah.
Kehadiran editor ‘otai’ ini bukan sahaja memberi inspirasi, malah menyuntik semangat dan motivasi kepada editor untuk terus menangani pengurusan manuskrip ilmiah dan menyumbang kepada penerbitan berkualiti, berimpak dan relevan dalam ekosistem pendidikan tinggi negara. – Siti Nur Dina Johary