Birokrasi representatif tingkatkan kepercayaan dan keberkesanan perkhidmatan awam
Gambar oleh Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 27 Ogos 2025: Konsep birokrasi representatif perlu diberi perhatian serius dalam pentadbiran awam moden kerana ia berperanan penting dalam memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih inklusif dan responsif terhadap keperluan rakyat.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed, yang juga Profesor di School of Government (SOG), berkata demikian dalam Syarahan Pengukuhan Profesor Siri 3/2025 bertajuk “Effective Public Service Delivery Through Representative Bureaucracy: Linking Descriptive and Substantive Representation” di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen UUM, petang tadi.
Menurut beliau, birokrasi representatif bukan sahaja berfungsi untuk mencerminkan kepelbagaian masyarakat dari segi jantina, etnik dan latar belakang sosial (representasi deskriptif), tetapi juga memainkan peranan penting dalam memastikan kepelbagaian tersebut diterjemahkan kepada tindakan yang membela kepentingan rakyat (representasi substantif).
“Apabila penjawat awam datang daripada pelbagai latar belakang, mereka lebih berupaya memahami realiti dan keperluan masyarakat, sekali gus meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan. Inilah asas kepada penyampaian perkhidmatan awam yang responsif dan berkesan,” katanya.
Konsep birokrasi representatif dilihat mampu meningkatkan tahap kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan, mengukuhkan prinsip keadilan serta mempertingkat keberkesanan dalam penyampaian perkhidmatan awam. Ia turut dianggap sebagai mekanisme penting dalam memastikan tadbir urus negara sentiasa relevan dengan realiti sosial yang semakin kompleks dan berbilang kaum, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara berdaya saing dan inklusif.
Majlis berkenaan turut dihadiri Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al-Jafri Saad, serta Pengerusi Majlis Profesor UUM, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Majid.
Turut sama memeriahkan majlis ialah Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU), profesor, pegawai kanan UUM serta tetamu jemputan antaranya Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kubang Pasu, Encik Badrulhisham Haji Sulaiman, Ketua Penolong Pegawai Daerah Kanan (Pengurusan Tanah), Encik Iman Hazwan Abd Halim, dan Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan Daerah), Encik Mohamad Izwan Dato’ Paduka Mohd Omar.
Program Syarahan Pengukuhan Profesor merupakan platform khusus yang dianjurkan bagi menonjolkan ketokohan ahli akademik yang dilantik sebagai profesor di UUM. Ia juga menjadi wadah untuk menyebarluaskan ilmu pengetahuan, kepakaran serta penemuan inovatif Profesor UUM kepada masyarakat umum sebagai bukti kecemerlangan akademik.