Education

Capai pembangunan ekonomi yang mampan, inklusif  

SINTOK, 18 November 2024: Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Prof. Dato’ Marzunisham Omar, menegaskan bahawa kejayaan transformasi ekonomi negara bergantung pada dua faktor penting: institusi inklusif yang kukuh dan dasar perindustrian pintar yang saling melengkapi.

Beliau yang juga Profesor Adjung Ekonomi di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, institusi inklusif amat penting.

“Dalam buku Why Nations Fail: The Origins of Power, Prosperity, and Poverty oleh Darren Acemoglu dan James Robinson, mereka membincangkan bahawa negara maju memiliki undang-undang adil, hak milik yang dilindungi, dan struktur masyarakat yang memberikan akses saksama kepada peluang ekonomi untuk semua warganya.

“Faktor kedua, ialah dasar perindustrian pintar. Dalam lima tahun kebelakangan ini, penggunaan dasar perindustrian meningkat sembilan kali ganda, dengan dua pertiga daripadanya diperkenalkan oleh negara maju seperti Perancis, Amerika Syarikat, Jerman, Jepun, dan Kesatuan Eropah,” ujarnya.

Beliau membincangkan pembangunan ekonomi, melihat kembali pencapaian Malaysia, dan bagaimana memposisikan Malaysia ke hadapan agar dapat meneruskan usaha untuk menyediakan pembangunan ekonomi yang mampan seterusnya memberi manfaat besar tanpa mengira kedudukan.

“Terdapat dua mega trend besar yang sedang membentuk dunia, iaitu perubahan geopolitik. Ketegangan geopolitik yang semakin meningkat menyebabkan pemecahan perdagangan yang lebih besar, mencabar aliran rantaian bekalan dan meningkatkan risiko pelaburan.

“Kedua, Revolusi Teknologi di mana kita sedang mengalami transformasi teknologi yang paling signifikan dalam sejarah manusia, dengan revolusi yang dipacu oleh Kecerdasan Buatan (AI),” katanya.

Tambahnya, IMF meramalkan hampir 40% pekerjaan global terancam oleh AI, dan pekerjaan berkemahiran tinggi juga perlu menyesuaikan diri dengan teknologi baru.

“Bagaimana kita boleh mengambil cabaran ini dan mengubahnya menjadi peluang? Malaysia perlu terus menawarkan persekitaran yang mesra perniagaan, mempunyai tenaga kerja yang mahir, dan infrastruktur bertaraf dunia, untuk memastikan kita terus menjadi destinasi yang menarik bagi pelaburan global.

“Kita perlu memberi tumpuan untuk membangunkan tenaga kerja yang bersedia untuk masa depan dengan kemahiran teknikal, keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, dan kemahiran lembut seperti berfikir secara kritis, penyelesaian masalah, dan kerjasama antara budaya,” ujarnya.

Salah satu cabaran besar katanya adalah untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi yang akan mencipta pekerjaan berkemahiran tinggi dan meningkatkan kompleksiti ekonomi Malaysia.

“Akhirnya, kita perlu memperkukuh sistem perlindungan sosial untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang tertinggal dalam perjalanan ini, terutama ketika cabaran global semakin meruncing.

Prof. Dato’ Marzunisham menyampaikan pandangan ini dalam Program CEO Talk 3.0 : The Evolution of Malaysia’s Indutstrial Policy yang berlangsung di DKG 3/2 UUM, semalam.

Beliau turut membincangkan pembangunan ekonomi Malaysia, pencapaian semasa, dan strategi untuk memastikan pembangunan ekonomi negara kekal mampan serta inklusif.

Terdahulu, beliau telah dilantik secara rasmi sebagai Profesor Adjung Ekonomi di SEFB. Watikah pelantikan disampaikan oleh Naib Canselor UUM dalam satu majlis makan tengah hari ringkas. Pada malam sebelumnya, beliau turut diraikan dalam Majlis Makan Malam bersama pengurusan universiti.

Sesi syarahan beliau turut dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri, Dekan SEFB, serta pegawai dan pelajar UUM yang mengambil peluang mendengar pandangan dan pengalaman berharganya.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button