CSR UUM di peringkat antarabangsa kukuhkan jalinan Malaysia dan Thailand
Berita dan gambar Dr. Adi Syahid Mohd Ali
THAILAND, 26 Ogos 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Inapan Siswa (Inasis) Bank Islam, Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) serta Inasis Petronas telah melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) antarabangsa dengan menanam pokok pandanus (mengkuang laut) di kawasan pesisir Trang, baru-baru ini.
Penanaman pandanus ini membawa pelbagai manfaat kepada alam sekitar dan komuniti setempat. Dari sudut ekologi, akar pandanus yang kukuh membantu menstabilkan tanah dan mencegah hakisan pantai, selain sebagai habitat semula jadi bagi pelbagai spesies burung dan serangga.
Lebih penting lagi, penanaman pandanus secara tidak langsung menyokong ekosistem laut berhampiran kerana kawasan pantai yang stabil menjadi benteng kepada habitat penting rumpai laut, iaitu kawasan pembiakan ikan dan sumber makanan utama bagi dugong.
Trang sendiri terkenal sebagai salah satu habitat semula jadi dugong di Thailand, mamalia marin yang semakin terancam dan sering digelar “lembu laut” kerana sifatnya yang jinak serta bergantung sepenuhnya kepada rumpai laut untuk kelangsungan hidup.
Selain itu, pandanus turut memberi nilai ekonomi kepada masyarakat tempatan kerana daunnya boleh digunakan dalam pembuatan kraftangan, anyaman tikar dan produk budaya lain yang mempunyai potensi komersial.
Pengetua Inasis Bank Islam, Dr. Adi Syahid Mohd Ali berkata, inisiatif CSR ini bukan sahaja simbol komitmen pelajar UUM terhadap kelestarian alam sekitar, malah memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari kaedah dan amalan masyarakat Thailand dalam menjaga pesisir pantai.
“Walaupun kecil, langkah ini memberi impak besar kerana kita bersama-sama menjaga ekosistem pantai yang penting bukan sahaja untuk Thailand tetapi juga rantau ini,” katanya.
Sementara itu, Dekan STHEM, Prof. Madya Dr. Johan Afendi Ibrahim, menegaskan bahawa penglibatan pelajar dalam aktiviti seumpama ini memberikan pengalaman pembelajaran berharga di luar bilik kuliah.
Menurutnya, melalui CSR ini, pelajar bukan sahaja didedahkan dengan aspek kelestarian dan pemuliharaan alam sekitar, tetapi juga dapat melihat sendiri bagaimana komuniti Thailand menguruskan sumber semula jadi mereka secara lestari.
“Ini adalah nilai tambah yang amat penting untuk melahirkan graduan yang holistik dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Program ini sekali gus mengukuhkan jaringan kerjasama antara UUM dan Rajamangala University of Technology Srivijaya (RUTS), Thailand melalui amalan pendidikan berasaskan pengalaman yang menekankan kelestarian dan perkongsian ilmu rentas budaya.