CUIC dengan kerjasama PPKKG, PACE dan OYAGSB teroka kerjasama dengan UMW Toyota
Gambar CUIC
SINTOK, 23 Jun 2025: Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh komitmennya dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan serta pembangunan modal insan melalui kerjasama strategik bersama Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) dengan kerjasama rakan industri utama, UMW Toyota.
Inisiatif kolaboratif ini diterajui oleh Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, bersama Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah; Pengarah PACE, Prof. Madya Dr. Herman Shah Anuar, dan Timbalan Pengarah PACE, Prof. Madya Dr. Abdul Aziz Othman.
Turut hadir dalam perbincangan strategik ini ialah wakil dari OYAGSB, Dr. Gunalan Nadarajah, yang menyokong penuh usaha integrasi ilmu akademik dan latihan industri dalam konteks pengurusan dan perniagaan.
Delegasi UUM ke UMW Toyota disambut mesra oleh pengurusan utama UMW Toyota Motor iaitu Pengurus Besar, Sumber Manusia UMW Toyota, Pamelyn Ngalih dan Pengurus Bahagian Latihan dan Pembangunan Organisasi, Joel Dionysius.
Dr. Chandrakantan berkata, kerjasama ini membuka ruang perbincangan ke arah inisiatif peningkatan tahap kebolehpasaran pelajar UUM, penawaran program ijazah lanjutan secara fleksibel, pelaksanaan latihan pengurusan yang bersasar serta penglibatan aktif industri dalam pembangunan profesional pelajar.
UMW Toyota menyambut baik inisiatif ini dan bersedia menyumbang dari segi peluang latihan industri, pemindahan ilmu serta pembangunan kemahiran pelajar UUM agar selari dengan kehendak pasaran kerja masa kini.
Usaha ini mencerminkan komitmen universiti untuk menyediakan ekosistem pendidikan yang holistik dan berimpak tinggi, dalam usaha melahirkan graduan yang berketerampilan, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran industri pada masa hadapan. – Siti Nazirah Jaya