Education

Dari kampus ke korporat: UUM dan Maybank teraju inisiatif 2025 untuk pelajar

Berita dan gambar Siti Nazirah Jaya

KUALA LUMPUR, 25 Mei 2025: Delegasi Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, telah mengadakan kunjungan rasmi ke Menara Maybank bagi memperkukuh hubungan strategik sedia ada antara UUM dan Maybank.

Delegasi UUM disambut oleh Head Group Resourcing Centre, Group Human Capital (GHC) Maybank, Lily Hasmiza Shuhaimi.

Maybank dan UUM telah mempunyai Memorandum Persefahaman (MoU) yang kukuh dan secara aktif melaksanakan pelbagai program bersama termasuk latihan industri, bimbingan kerjaya dan pembangunan pelajar.

Sepanjang sesi perbincangan, kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk merancang pelbagai inisiatif bersama menjelang Oktober 2025 seperti program literasi kewangan, e-sukan, serta Career Coaching Masterclass untuk pelajar.

Dr. Chandrakantan berkata, lawatan ini membuka ruang kepada perbincangan yang konstruktif dan berimpak tinggi.

“Kami amat menghargai keterbukaan Maybank dalam menyokong ekosistem pendidikan tinggi melalui program-program inovatif dan relevan dengan keperluan industri,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Group Talent Attraction, Group Human Capital (GHC) Maybank, Janice Low Ming Huey menegaskan kepentingan sinergi antara institusi pendidikan dan sektor perbankan.

Menurutnya, Maybank sentiasa komited dalam memperkasakan bakat muda menerusi inisiatif seperti Maybank@Campus.

Katanya, pihaknya juga menyambut baik jemputan untuk menyertai penilaian QS University Rankings dan menjadi ahli dalam Majlis Penasihatan Universiti-Industri (MPUI).

Lawatan ini menjadi bukti komitmen UUM dalam memperluas jaringan kolaborasi industri demi memperkasa kebolehpasaran graduan dan meningkatkan reputasi institusi di peringkat global.

Turut serta, Timbalan Pengarah Jaringan Industri CUIC, Prof. Madya Dr. Normalisa Md Isa, dan Penyelaras Latihan Industri UUM COLGIS, Dr. Zuliana Azwa Zulkifli.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button