Delegasi pendidikan kukuhkan kolaborasi strategik antara PENDIDIK UUM dan PIP USM
Gambar Nur Ellyna Shahronizam
PULAU PINANG, 3 Ogos 2025: Dalam usaha memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Malaysia, Persatuan Pengurusan Pendidikan (PENDIDIK), Universiti Utara Malaysia (UUM), telah menganjurkan program Delegasi Pendidikan: Eksplorasi Ilmu dan Kolaborasi Pendidik UUM x PIP USM yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM).
Program ini menghimpunkan pelajar dari dua persatuan pendidikan utama, iaitu PENDIDIK UUM dan Persatuan Ilmu Pendidikan (PIP) USM.
Pengarah program, Amalia Amni Muhamad Nizam yang juga Exco Komunikasi, Integrasi dan Antarabangsa PENDIDIK berkata, inisiatif ini bertujuan untuk membina dan mengukuhkan hubungan profesional antara pelajar dalam bidang pendidikan disamping membuka ruang kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua pihak.
Menurutnya, antara pengisian utama dalam program ini ialah sesi persidangan mini dan perkongsian ilmu yang memfokuskan kepada aspek pengurusan organisasi, khususnya dalam konteks kepimpinan persatuan pelajar pendidikan.
Perbincangan dan sesi dialog yang diadakan bukan sahaja membolehkan pertukaran idea serta pengalaman antara kedua-dua persatuan, bahkan turut mencetuskan pemikiran baharu dalam memperkasa struktur pengurusan organisasi mahasiswa yang lebih efektif dan holistik.
Delegasi PENDIDIK UUM juga telah berkesempatan untuk melawat beberapa lokasi penting di sekitar kampus USM. Antaranya termasuklah bilik kuliah, fasiliti di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, perpustakaan utama Hamzah Sendut I, serta persekitaran kampus secara amnya. Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada suasana pembelajaran dan kemudahan akademik di USM, sekali gus memperluas perspektif para peserta mengenai landskap pendidikan tinggi di Malaysia.
“Saya bersyukur atas kejayaan penganjuran program ini dan berharap agar kolaborasi seperti ini dapat dijadikan sebagai platform tahunan yang menyatukan pelajar dalam bidang pendidikan, seterusnya memperkukuh jaringan profesional dan akademik antara dua universiti terkemuka ini.
“Kolaborasi ini bukan hanya sekadar kunjungan akademik, tetapi merupakan satu langkah strategik dalam membina jambatan hubungan yang mantap antara dua IPTA. Melalui program seperti ini, kita dapat menanam nilai kepimpinan, semangat kolaboratif dan pemikiran kritis dalam kalangan mahasiswa pendidikan, demi membina masa depan pendidikan negara yang lebih cemerlang,” katanya.
Pihak PENDIDIK UUM juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada PIP USM atas kesudian menerima kunjungan delegasi serta layanan mesra sepanjang program berlangsung.
Penganjuran program Delegasi Pendidikan: Eksplorasi Ilmu dan Kolaborasi Pendidik ini telah membuktikan bahawa usaha bersepadu antara IPTA mampu menjadi pemangkin kepada pemerkasaan mahasiswa dalam bidang pendidikan. Ia turut mencerminkan aspirasi bersama dalam melahirkan golongan pendidik masa depan yang berilmu, berintegriti dan berdaya saing pada peringkat global. – Amalia Amni Muhammad Nizam