Education

Dua pelajar UUM sertai ASEAN University Network Summer Camp 2025 di Manila

Gambar Rayhanah Sawsan

MANILA, 22 September 2025: Dua pelajar daripada Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengharumkan nama universiti dan negara apabila terpilih menyertai ASEAN University Network (AUN) Summer Camp 2025 yang berlangsung di Ateneo de Manila University, baru-baru ini.

Mereka ialah Hazim Muqri Norrasmi, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa dengan Kepujian, dan Rayhanah Sawsan, pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa dengan Kepujian.

Program selama dua minggu itu menghimpunkan lebih 30 pelajar terpilih daripada universiti-universiti di seluruh ASEAN dengan tema “LeadLab for a Sustainable Future”.Ia memberi tumpuan kepada penerapan kemahiran “futures thinking”, iaitu teknik penilaian masa depan dalam mengenal pasti potensi risiko kerosakan terhadap ekosistem dan membangunkan penyelesaian lestari bagi cabaran global.

Hazim Muqri berkata, sepanjang program, mereka didedahkan dengan latihan kepimpinan adaptif, strategi kelestarian, serta aktiviti kolaborasi silang budaya yang membolehkan mereka bertukar pandangan dan pengalaman bersama rakan mahasiswa serantau.

Menurutnya, penyertaan mereka telah memperluaskan pemahaman terhadap isu-isu serantau serta mengukuhkan jaringan kerjasama antarabangsa.

Sementara itu, Rayhanah menegaskan pengalaman tersebut membina keyakinan diri dan membuka peluang untuk mengaplikasikan ilmu akademik dalam konteks dunia sebenar.

Dekan SOIS, Prof. Madya Dr. Nazariah Osman berkata, penyertaan pelajar pusat pengajian tersebut dalam program sebegini amat signifikan kerana ia selaras dengan aspirasi pusat pengajian yang mahu mendedahkan pelajar kepada isu-isu antarabangsa dan mengadaptasikan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah ke dalam dunia nyata.

Katanya, penyertaan ini juga bertepatan dengan pencapaian terbaru apabila Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa dengan Kepujian menerima akreditasi daripada ASEAN University Network – Quality Assurance (AUN-QA) baru-baru ini.

Penyertaan ini sekali gus menegaskan komitmen UUM dalam melahirkan graduan antarabangsa yang berdaya saing, berpandangan global serta mampu menyumbang kepada pembangunan mampan rantau ASEAN. – Hazim Muqri Norrasmi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button