Ekspo Osaka 2025: SOC UUM jalin kerjasama dengan Hiroshima University
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Husniza Husni
HIROSHIMA, 31 Julai 2025: Bersempena Ekspo Osaka 2025 bermula pada 19 hingga 25 Julai lalu di Osaka, Jepun, Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kunjungan hormat ke School of Informatics and Data Science, Hiroshima University, Hiroshima bagi jalinan kerjasama dan membincangkan peluang kolaborasi strategik jangka panjang dan jangka pendek.
Perjumpaan tersebut diraikan dan diketuai oleh Dekan, Prof. Dr. Dohi Tadashi, Prof. Madya Dr. Adilin Anuardi dan Korekuni Hiroaki selaku Pegawai Perhubungan Antarabangsa dari Hiroshima University, Manakala SOC UUM diwakili oleh Dekan, Prof. Dr. Osman Ghazali dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Dr. Husniza Husni.
Antara agenda yang dibincangkan ialah penyelidikan dan penerbitan bersama, penyeliaan bersama, peluang mobiliti staf dan pelajar, penganjuran seminar antara kedua-dua universiti serta lain-lain aktiviti akademik yang memberi impak kepada kedua-dua universiti.
Dr. Osman Ghazali berkata, kerjasama ini bakal membuka lebih banyak peluang strategik dalam penyelidikan dan pembangunan akademik yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua institusi serta komuniti global.
Sementara itu, Prof. Dr. Dohi Tadashi menyatakan bahawa mereka amat mengalu-alukan kolaborasi ini kerana ia mampu memperkukuh jaringan antarabangsa, meningkatkan kualiti penyelidikan dan mewujudkan platform yang lebih luas untuk pelajar dan staf kedua-dua universiti.
Pertemuan dan perbincangan ini diharap dapat mengukuhkan jaringan akademik dan memperluas kerjasama antarabangsa dalam bidang pengkomputeran, sains data terutamanya kecerdasan buatan (AI).