Education

Empat pelajar SLCP terpilih sertai AUS 2025

Berita dan gambar Tanushri Lachumanan

SINGAPURA, 12 Ogos 2025 : Empat pelajar dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah terpilih menyertai Asian Undergraduate Symposium (AUS) 2025, atau dikenali sebagai NUS-AUN Summer Programme, yang berlangsung selama dua minggu dari 7  Julai lalu di National University of Singapore.

Pelajar SLCP yang mewakili UUM ialah Tanushri Lachumanan, Sofia Natasyah Saparin, Nur Nabila Natasya Zabani, dan Rabiatul Adawiyah Ismail.

Turut menyertai delegasi UUM ialah Siti Aisyah Kamarudin dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) dan Eilliyah Fong Abdullah dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS).

Program ini menghimpunkan lebih 300 pelajar sarjana muda dari pelbagai negara Asia termasuk Indonesia, Thailand, Jepun, Korea, India dan sebagainya yang dipilih daripada lebih daripada 1,700 permohonan.

Edisi ke-10 AUS tahun ini membawa tema besar “Interconnected Communities”, dengan tumpuan kepada tiga fokus utama iaitu Sustainability & Regeneration, Diversity, Equity & Inclusion dan Heritage & Culture.

Pelajar Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Linguistik dan Teknologi Maklumat, Tanushri Lachumanan berkata, sepanjang dua minggu tersebut, mereka menyertai pelbagai aktiviti termasuk konsultasi bersama pensyarah NUS College, panel perbincangan berdasarkan tema utama, serta menghasilkan projek utama AUS 2025 berdasarkan pemilihan tema dan topik masing-masing.

“Kami juga menjalani Learning Journey selama tiga hari yang merangkumi lawatan ke pusat komuniti sekitar Singapura,” katanya.

Lebih membanggakan, projek pembentangan oleh Sofia Natasyah telah terpilih dalam pemilihan projek pelajar AUS 2025, sekali gus menyerlahkan penglibatan aktif pelajar SLCP dalam wacana antarabangsa yang bermakna.

SLCP dan seluruh warga UUM merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua pelajar atas pencapaian membanggakan ini.

Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus melangkah ke hadapan di pentas global.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button