Felo IHM IBS UUM kendalikan Program Sembelihan Halal di Kolej Vokasional Arau
Berita dan gambar Dr. Mohd Sollehudin Shuib
ARAU, 18 September 2025: Felo Institut Halal Management (IHM), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dijemput ke Kolej Vokasional (KV) Arau bagi mengendalikan Program Tatacara Sembelihan Halal yang disertai lebih 200 pelajar.
Program ini dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Muhamad Noor Habibi Long dan Dr. Mohd Solehudin Shuib, yang berkongsi ilmu mereka dalam sembelihan halal.
Sesi bermula dengan pendedahan kepada konsep asas sembelihan halal berpandukan syariat Islam, termasuk aspek syarat sah sembelihan dan kepentingan pematuhan halal dalam rantaian makanan.
Pelajar turut diberi peluang mengikuti amali sembelihan, di mana mereka dapat menguasai kemahiran praktikal serta memahami keperluan kebersihan, keselamatan dan kepatuhan standard halal.
Pengarah IHM, Dr. Nor Aina Mhd Khotib berkata, program ini memberi banyak manfaat kepada pelajar, antaranya dapat meningkatkan kefahaman tentang kepentingan sembelihan halal dalam industri makanan serta membangunkan kemahiran teknikal yang berguna dalam bidang industri sembelihan halal bagi penyediaan makanan halal.
Menurutnya, kerjasama antara IBS UUM dan KV Arau ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh pendidikan vokasional dengan nilai tambah halal, sekali gus melahirkan graduan yang lebih berdaya saing dalam memenuhi permintaan industri.