Education

Hala Tuju IBS 2035 diselaraskan dan diperkukuhkan 

Gambar Muhamad Syamsul Akmal Mohd Nasir

LANGKAWI, 16 Julai 2025: Nilai ‘Itqan’ menjadi teras utama dalam memperkukuh budaya kerja cemerlang dalam kalangan staf Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia.

Dalam sesi pembentangan oleh Pengarah Bahagian Perancangan dan Prestasi Korporat UUM, Prof. Dr. Nor Aziah Abdul Manaf, beliau mengingatkan peserta tentang pentingnya kesungguhan, ketelitian dan keikhlasan dalam melaksanakan amanah pekerjaan selari dengan tuntutan syariat.

Beliau antara penceramah jemputan khas dalam slot pada 5 Julai 2025 sempena Bengkel Pemerkasaan Kepimpinan dan Pemantapan Hala Tuju anjuran IBS di De Baron Resort.

Antara perkara yang disentuh adalah kesungguhan dalam melaksanakan tugasan iaitu setiap pekerja harus bekerja mengikut teras yang telah diamanahkan.

“Usaha ini bakal membawa IBS dan UUM ke arah mancapai matlamat Pelan Strategik Fasa IV (2026-2030),” katanya.

Antara perkara lain yang ditekankan adalah persediaan (mapping) untuk ke hadapan yang harus berdasarkan kepada pelan jangka masa panjang sekitar 10 tahun ke hadapan.

“Molek kiranya setiap staf memahami visi dan misi universiti serta pusat pengajian. Langkah ini amatlah penting agar apa yang diusahakan bakal membuahkan hasil berdasarkan amalan ‘Itqan’ dalam melaksanakan tanggungjwab sebagai pekerja,” katanya.

Dr. Nor Aziah menegaskan bahawa setiap staf perlu memahami visi dan misi universiti serta merangka pelan jangka panjang bagi menyokong Pelan Strategik Fasa IV (2026–2030).

Sesi ini turut menekankan kepentingan meningkatkan impak penyelidikan, khususnya dari segi sitasi artikel, bagi melonjakkan kedudukan UUM ke kelompok 200-300 universiti terbaik dunia kelak.

Menjawab soalan peserta tentang artikel berstatus SCOPUS yang akan mendapat perhatian akademia, beliau berkata, sokongan rakan akademik dalam membantu melonjakkan sitasi artikel yang diterbitkan amat diperlukan, di samping sokongan dari pihak pentadbiran dalam mempromosi artikel dan bahan penerbitan dalam kalangan pensyarah juga perlu dipergiatkan lagi.

Sementara itu, Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor menyifatkan perkongsian dan bimbingan Prof. Nor Aziah berjaya mengukuhkan kefahaman dan membawa fokus warga IBS menghala kepada satu misi menjadikan IBS lebih cemerlang di masa hadapan.

Menurutnya, Dr. Nor Aziah sangat sabar dalam menyantuni semua luahan hati warga IBS yang berdepan pelbagai cabaran bagi merealisasikan visi dan misi UUM, semua pertanyaan dijawab dengan senyum dan penuh simpati.

“Semoga warga IBS lebih faham dan jelas cabaran dan strategi serta dasar yang sedang dilaksanakan UUM, yang penting setiap kita melaksanakan amanah sebaik mungkin yang kita mampu,” katanya.

Dengan semangat ‘Itqan’, staf IBS diyakini mampu mengharungi cabaran serta membawa nama universiti ke persada antarabangsa. – Dr. Solehah Yahaya

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button